Dalam aplikasi Personal Safety terbaru di Play Store, didapati terdapat barisan kod yang memberi bayangan akan ada ciri yang bolehkan telefon anda digunakan sebagai dashcam.
Pasukan 9to5Google mendapati ada ciri dengan jelas label “Dashcam” padanya.
Menerusi tangkap layar dikongsi, pengguna boleh pilih untuk rakam bunyi sekali atau tidak. Video dirakam yang tidak disimpan juga akan dihapuskan dalam masa 3 hari.
Menariknya, anda boleh tetapkan untuk ia rakam secara automatik apabila tersambung dengan peranti Bluetooth lain seperti infotainment di dalam kereta.
Video-video ini akan dimampatkan (compress) hingga sehingga ~30MB untuk seminit.
Menilai daripada antara muka tersedia, nampaknya ia seperti sudah bersedia untuk dilancarkan tidak lama lagi.
Pun begitu, penemuan kod ini tidak bermakna ia akan digunakan secara rasmi oleh Google kelak. Jadi, kita masih perlu tunggu pengumuman Google.
Kita juga boleh pasti apakah ciri ini hanya terhad pada peranti Pixel atau semua peranti Android.
Harapnya ciri lensa lebar akan turut dimanfaatkan.
Cumanya, yang menjadi kekhuatiran apakah ia akan hadir dengan fungsi untuk matikan skrin telefon kerana di Malaysia contohnya, isu haba pastinya akan memberi kesan pada peranti.
5 minit di bawah cermin kereta juga sudah pastinya sudah terasa panas pada panel belakang.
Bilakah ciri ini akan tersedia? Wallahua’lam.
Bercakap soal dashcam, ara pasang dashcam dengan betul menurut MIROS boleh diikuti di SINI.
Selain itu, MIROS juga telah keluarkan senarai dashcam terbaik. Ia boleh dibaca di artikel INI.
Sumber: 9to5Google