Terdahulu, WhatsApp telah memperkenalkan ciri penapis sembang untuk memudahkan pengguna melakukan carian lebih pantas di dalam aplikasi tersebut.
Kini, Wabetainfo melaporkan yang WhatsApp menggunakan fungsi sedemikian untuk pengurusan ruang storan yang diambil WhatsApp pada peranti.
Jika ciri ‘chat filter’ mempunyai tapisan all, unread dan group, dalam tetapan pengurusan storan WhatsApp nanti akan hadir dengan tapisan all, chats dan juga channels.
Sebelum ini, di tetapan pengurusan storan WhatsApp, ia akan menunjukkan jumlah storan diambil WhatsApp dan disusun mengikut saiz paling besar dalam peranti.
Namun, menerusi ciri baharu itu, pengguna akan lebih mudah untuk mencari mesej sembang mahupun saluran WhatsApp yang mana paling banyak ruang storan. Dengan ini, proses memadam gambar, video atau apa-apa fail besar akan jadi lebih cepat.
Ini kerana kadangkala dengan jumlah perbualan yang sangat banyak akan memeningkan bagi sesetengah individu.
Buat masa sekarang, ciri ini telah pun ditawarkan buat pengguna beta WhatsApp dan dijangka akan ditawarkan untuk semua pengguna dalam masa terdekat.
{suggest}
Sumber: wabetainfo