Untuk pengetahuan anda, vivo Malaysia dahulunya telah merasmikan telefon pintar kategori andalan iaitu siri vivo X100 pada awal tahun ini dengan keberkesanan yang memberansangkan dari sudut kamera dan ia kini juga terbukti mampu untuk dijadikan sebagai pengganti kamera dalam pembikinan filem.
Selepas sebulan berlalu, angka 100 itu telah dibawa masuk ke dalam siri Y untuk keluaran telefon pintar kelas pertengahan yang terbaru dan telah pun tersedia di pasaran dengan penampilan reka bentuk yang unik, iaitu vivo Y100 5G.
Dalam ulasan kali ini, saya akan kongsikan kepada anda perkara yang baik serta sudut yang kurang memuaskan tentang telefon ini supaya anda dapat serba sedikit gambaran dan ilmu pengetahuan sebelum membelinya.
Spesifikasi
Cip: Snapdragon 4 Gen 2
Memori: 8GB RAM LPDDR4X
Storan: 256GB UFS 2.2
Sistem Operasi: Funtouch OS 14, Android 14
Skrin: AMOLED 6.67 inci, resolusi 2400 x 1080, 120Hz, kecerahan puncak 1,800 nits
Kamera: 50MP utama, 8MP ultra lebar, sensor flicker
Kamera Swafoto: 8MP
Bateri: 5,000mAh, pengecasan 80W
Lain-Lain: Rangkaian 5G, Bluetooth 5.0, NFC, penarafan IP54, Wi-Fi 5 GHz
{suggest}
Rekaan
Bagi anda yang gemar bergaya dengan kelengkapan barangan peribadinya adalah berasaskan kemasan leather ataupun kulit, saya sangat sarankan anda untuk memiliki telefon ini.
Hal ini kerana reka bentuk panel belakang vivo Y100 ini lengkap dengan ciri tersebut walaupun identiti sebenarnya itu adalah daripada bahan plastik dan ia hanya tersedia dalam dua pilihan warna sahaja iaitu ungu dan biru gelap.
Walaupun saya bukan pengguna telefon pintar berjenama vivo, saya akui yang perasaan semasa memegang telefon ini seakan-akan telah memiliki sebuah telefon pintar yang premium.
Tambahan pula, telefon ini dilengkapi dengan ciri kalis air sekali gus dapat menghilangkan kerisauan anda apabila terkena air dan sebagainya.
Dan saya pasti akan ada golongan di luar sana yang beranggapan jikalau telefon ini tampil dengan skrin jenis melengkung, ia akan nampak lebih premium seperti model Y yang terdahulu iaitu vivo Y78 5G.
Skrin
Selain daripada rekaan panel belakang yang unik, saya juga terkejut dengan vivo Y100 ini kerana harganya yang tidak terlalu mahal dilengkapi dengan skrin jenis AMOLED.
Namun begitu, saya sarankan kepada anda supaya tidak mengharapkan kualiti paparan video yang menyokong resolusi HDR10 daripada telefon ini kerana itu tidak dijamin hadir dalam setiap penggunaan skrin jenis AMOLED.
Walau bagaimanapun, kualitinya masih lagi boleh saya terima untuk kegunaan bermain permainan mudah alih dan menonton video di Netflix ataupun penggunaan platform media sosial. Sama juga dari sudut kualiti pembesar suara stereonya, bagus tapi bukanlah yang terbaik dalam kelas pertengahan.
Bateri
Dari sudut penggunaan bateri pula, vivo Y100 ini dilaporkan telah dijamin hayatnya oleh pihak vivo sendiri yang mana baterinya akan mengekalkan kadar kapasiti sehingga 80 peratus walaupun telah digunakan selama 4 tahun.
Pada pendapat saya, ini adalah kenyataan yang sangat berani untuk dilakukan oleh sesebuah peneraju telefon pintar.
Namun begitu, saya tetap berpuas hati dengan prestasi baterinya kerana mampu memberi keputusan cuba uji pengecasan telefon yang memberangsangkan di mana ia mampu untuk mengecas sehingga penuh daripada paras 20 peratus dalam masa sekitar 40 minit sahaja.
Prestasi
Dari sudut prestasi dalaman vivo Y100 ini, saya berasa kurang berpuas hati dengan cip pemprosesannya kerana kadar kelajuan CPU yang berjaya direkod menggunakan aplikasi Geekbench 6 hanyalah setinggi 2.2 GHz sahaja.
Namun begitu, saya ingin menjelaskan kepada anda bahawa telefon kelas pertengahan daripada vivo ini telah berjaya mengeluarkan model-model kelas pertengahan yang akan datang daripada dibelenggu dengan cip Snapdragon 695 5G.
Sebagai pengetahuan, cip ini juga dikenali sebagai salah satu keluaran cip pertengahan dengan rangkaian 5G yang mampu milik dan sering menjadi pilihan syarikat-syarikat pembangun peranti mudah alih.
Walau bagaimanapun, prestasi Snapdragon 4 Gen 2 ini juga bukanlah pilihan yang terbaik namun telah memadai untuk kegunaan harian yang asas dan tidak terlalu berat.
Sebelum terlupa, saya juga ada perasan satu perkara sepanjang pengalaman menggunakan telefon ini yang mana ada berlaku sedikit animasi kurang lancar dan delay pada perubahan antara muka serta pembukaan pelbagai aplikasi secara berturut-turut dalam setiap saat.
Walaupun begitu, isu ini tidaklah kerap berlaku kerana ia hanya akan terjadi apabila telefon ini menerima arahan tugasan yang terlalu berat.
Saya juga berharap yang pihak vivo dapat mengambil tindakan ataupun inisiatif dalam mengoptimumkan prestasi peranti pertengahan ini dan bukan untuk vivo Y100 5G ini sahaja malah model yang lain juga.
Kamera
Untuk anda yang mengharapkan telefon ini mempunyai prestasi kamera yang bagus, di sini saya ingin beritahu kepada anda bahawa kamera telefon ini juga adalah pada tahap biasa-biasa, tidak terlalu teruk dan tidak terlalu memuaskan bagi saya.
Kenapa saya berpendapat sebegitu? Hal ini kerana apabila saya menangkap gambar pada waktu malam, white balance pada hasil gambar kelihatan agak ‘lari’ sedikit.
Tambahan pula dengan penerapan sensor flicker pada kameranya yang berperanan dalam membantu menangkap gambar pada keadaan yang kurang pencahayaan tetapi tidak berfungsi secara konsisten.
Tidak lupa juga, vivo Y100 5G ini hanya menyokong format rakaman video pada kadar 1080p 30FPS sahaja walaupun menggunakan kamera utamanya yang mana dari perspektif saya sendiri sebagai pengguna telefon pintar, kualiti video pada kamera utama sekurang-kurangnya perlu mencapai 1080p dengan kualiti 60FPS.
Kesimpulan
Berdasarkan pemerhatian yang telah saya lakukan secara teliti terhadap vivo Y100 5G ini, saya boleh katakan ia adalah sebuah telefon yang ‘biasa’ jika diletakkan dalam kalangan telefon pintar yang berharga sekitar RM1,000.
Kesimpulan ini saya putuskan apabila ‘membuang’ reka bentuk panel belakangnya dan memberikan fokus sepenuhnya pada prestasi sahaja.
Jadi, saya sarankan kepada anda yang ingin membeli telefon ini supaya berfikir sejenak kerana jumlah harga RM1,199 yang ditetapkan untuk telefon ini boleh digantikan dengan telefon kelas pertengahan yang lain seperti realme 12 5G yang terjual dengan harga permulaan RM1,099.
Beli vivo Y100 di:
Shopee – https://invl.io/clksvuw
Lazada – https://invol.co/clksvv2