Kalau dahulu, syarikat realme Malaysia telah menampilkan barisan telefon pintar siri realme 11 yang mana model realme 11 Pro+ mereka telah dianggap sebagai telefon pintar pertengahan yang baik dari sudut spesifikasi skrin, perkakasan serta bateri.
Kini, realme telah memperkenalkan satu lagi barisan terbaru bagi siri peranti telefon pintar jenis pertengahan, iaitu siri realme 12 dan saya akan bincangkan tentang prestasi serta ciri-ciri lain dalam model realme 12 Pro+ 5G sepanjang pengalaman menggunakannya.
Spesifikasi
Cip: Snapdragon 7s Gen 2
Memori: 12GB RAM
Storan: 512GB
Sistem Operasi: realme UI 5.0
GPU: Adreno 710
Skrin: Melengkung 6.7 inci, 2412 x 1080, 1-120Hz
Kamera: 64MP OmniVision OV64B periskop potret, 50MP Sony IMX890 OIS utama, 8MP ultra lebar
Kamera Swafoto: 32MP Sony lebar
Pembesar Suara: Stereo Dolby Atmos
Bateri: 5,000mAh, 67W pengecasan SUPERVOOC berwayar
Lain-lain: Slot dwi-SIM, Wi-Fi 6, rangkaian 5G, Bluetooth 5.2
{suggest}
Rekaan
Seperti yang anda lihat dalam gambar di atas, realme 12 Pro+ ini masih mengekalkan penggunaan vegan leather atau nama lainnya adalah kulit tiruan untuk kemasan panel belakangnya sama seperti realme 11 Pro+.
Diikuti juga dengan penerapan cetakan 3D garisan pembahagi yang dinamakan sebagai Jubilee Bracelet di bahagian tengah serta bonggol kamera yang mempunyai rekaan menarik seperti jam tangan mewah.
Hal ini kerana rekaan bonggol kameranya itu direka khas oleh pereka jam tangan mewah antarabangsa, Ollivier Saveo yang dahulunya pernah memenangi anugerah Artisan Terbaik di Perancis.
Tambahan pula, beliau pernah berkolaborasi dengan jenama mewah yang lain seperti Rolex dan Roger Dubuis.
Sama juga untuk skrin, realme masih menggunakan jenis skrin yang melengkung.
Pada pendapat saya, initiatif hiasan telefon pintar seperti ini boleh diaplikasikan oleh telefon-telefon pintar jenis andalan supaya kelihatan premium berbanding menggunakan permukaan belakang yang berkilat, licin dan kosong.
Untuk rekaan luaran realme 12 Pro+ 5G ini, saya akan memberi markah penuh kerana ia sangat memenuhi cita rasa saya.
Prestasi
Walaupun kedua-dua telefon pintar realme 11 Pro + dan realme 12 Pro+ menggunakan cip pemprosesan yang berbeza, perbezaan keputusan tanda aras daripada aplikasi Geekbench 6 merekodkan prestasi pemprosesan dalaman yang tidak terlalu jauh dari sudut teras tunggal dan multi-teras.
Namun begitu, anda tidak perlu risau akan ketidakberkesanan realme 12 Pro+ ini untuk bermain permainan mudah alih.
Hal ini kerana apabila dibandingkan dengan Infinix GT 10 Pro yang menggunakan cip MediaTek Dimensity 8050, realme 12 Pro+ ini masih mampu untuk mengendalikan permainan mudah alih yang asas seperti Mobile Legends dan PUBG MOBILE.
Tidak terkecuali juga untuk tugasan harian yang lain seperti menatal di laman media sosial, menyunting video dan lain-lain lagi.
Salah satu sebab lain yang menjadikan realme 12 Pro+ ini menarik di mata saya adalah antara muka yang ditawarkan tidak mengecewakan dan lancar walaupun digunakan secara berlebihan.
Tambah pula, dia ada satu ciri butang yang memudahkan penggunanya untuk mengubah kedudukan paparan daripada potret ke landskap tanpa pergi ke tetapan Control Center.
Kamera
Apabila saya mengambil gambar dengan realme 12 Pro+ ini, saya sangat berpuas hati kerana prestasi kameranya terasa sangat berbeza apabila dibandingkan dengan kamera realme 11 Pro+ yang menggunakan lensa utama 200MP. Apatah lagi, jika digunakan pada waktu malam.
Selain itu, ciri gambar yang lain seperti keseimbangan warna putih dalam tetapan tangkapan biasa ataupun ultra lebar, kecacatan warna itu tidak kelihatan serta tak terlalu oversharpen.
Untuk tetapan kamera periskop potretnya pula, hasil gambarnya sangat memberangsangkan sehingga pihak realme sendiri mengatakan yang model ini mampu untuk beri kualiti foto lossless apabila menangkap gambar dari tetapan 0.6 hingga 6 kali zum.
Tidak terkecuali juga untuk kamera potret dan swafotonya, realme 12 Pro+ ini menawarkan kualiti bokeh yang semula jadi dan hasil gambar yang tidak mengecewakan.
Ciri Menarik
Untuk pengetahuan anda, dalam setiap hasil gambar realme 12 Pro+ 5G ini akan disertakan sekali bersamanya palet warna yang menampilkan kegunaan 5 warna paling dominan dalam setiap gambar tersebut.
Walaupun ia nampak remeh, ciri ini mampu untuk memberikan seseorang itu pengetahuan tentang penggunaan warna dalam sesuatu gambar yang diambilnya.
Selain itu, realme 12 Pro+ ini juga boleh mengesan sesuatu objek dalam gambar apabila penggunanya menekan lama pada objek yang dikehendaki dan memberikan pilihan ‘Copy’, ‘Save’ dan ‘Share’ objek yang dipilih sahaja.
Perkara ini mungkin boleh diaplikasikan oleh pengguna aplikasi WhatsApp yang minat dalam penciptaan sticker di ruang perbualan.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, saya dapati peranti realme 12 Pro+ 5G ini telah berjaya memperbaiki serta mempertingkatkan prestasi kameranya dengan penerapan lensa periskop potret.
Namun begitu, peningkatannya telah mengorbankan satu aspek lain iaitu pengecasan pantasnya yang mana realme 11 Pro+ dahulunya menggunakan pengecasan 100W telah dikurangkan kepada 67W untuk realme 12 Pro+.
Walau bagaimanapun, telefon ini tetap boleh dijadikan sebagai pilihan alternatif anda yang sedang mencari peranti kelas pertengahan terbaik untuk tahun 2024 setakat ini.
Beli siri realme 12 5G di:
Shopee – https://invl.io/clkov73
Lazada – https://invol.co/clkov74