Seperti yang anda tahu, tablet merupakan jenis peranti mudah alih seperti telefon pintar dengan perbezaan antara dua teknologi ini adalah tablet mempunyai paparan skrin yang lebih besar.
Oleh yang demikian, tablet sering dipilih oleh sesetengah individu untuk dijadikan sebagai pengganti kepada PC dan komputer riba apabila penggunanya ingin menonton video di aplikasi tontonan seperti YouTube dan Netflix.
Di samping itu, ia juga sering digunakan sebagai platform melukis kerana saiz paparan skrinnya yang besar seperti buku nota untuk contengan dan draf lukisan.
Sehubungan dengan itu, OPPO telah mengeluarkan produk tablet mereka yang terbaru, iaitu OPPO Pad Neo untuk pasaran tempatan dengan harga yang agak berpatutan bagi sebuah peranti tablet.
Saya dengan ini telah menggunakan peranti ini selama beberapa minggu untuk membahaskan tentang kelebihan dan kekurangan yang tersedia dalam OPPO Pad Neo ini supaya anda sebagai pembeli dapat membuat keputusan yang sebaiknya sebelum membeli.
Spesifikasi
Cip: MediaTek Helio G99
Memori: 8GB RAM
Storan: 128GB
Sistem Operasi: Android 13, ColorOS 13.2
Skrin: IPS LCD, 11.4 inci, 1720 x 2408, 90Hz
Kamera: 8MP utama, 8MP swafoto
Bateri: 8,000mAh, pengecasan berwayar SUPERVOOC 33W
Pembesar Suara: 4 pembesar suara stereo Dolby Atmos
Lain-lain: USB-C 2.0, Bluetooth 5.2
{suggest}
Rekaan
Pada pendapat saya, perkakasan tambahan yang dibekalkan untuk tablet ini adalah asas sahaja kerana ia hanya mempunyai pengecas berwayar 33W sahaja di dalam kotaknya dan semestinya buku panduan.
Beralih pula kepada bahagian rupa bentuk, saya rasa tablet ini tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan ketika saya memegangnya dengan sebelah tangan.
Dalam pada itu, saya juga sarankan anda supaya berhati-hati ketika memegangnya dengan tangan kering kerana rekaannya yang sedikit bulat atau melengkung serta nipis, membuatkan ia mudah “tergelincir” dan terlepas daripada pegangan walaupun dengan cara pegangan yang santai.
Hal ini kerana bahagian panel belakangnya diperbuat daripada bahan aluminium yang agak licin dan ia juga tampil dengan rekaan seakan-akan versi baharu bagi tablet OPPO Pad 2.
Anda tidak perlu risau tentang perkara ini kerana setiap pembeliannya akan disertakan bersama selongsong pintar peranti OPPO Pad Neo Smart Case secara percuma.
Perkara ini dapat dilihat pada kedudukan kameranya yang berada di bahagian tengah tetapi berlainan pada sudut bahagian panel yang reflektif untuk kamera belakangnya.
Selain itu, tablet ini juga dilengkapi dengan 4 pembesar suara stereo daripada Dolby Atmos, dua pembesar suara di setiap bahagian kiri dan kanan tablet. Ia juga mempunyai butang volume untuk laras bunyi yang bersebelahan dengan butang kuasa.
Prestasi
Bagi anda yang berharap tablet ini boleh dijadikan sebagai peranti gaming dengan paparan yang besar, saya nasihatkan anda untuk tidak berbuat sedemikian.
Hal ini kerana cip pemprosesan yang digunakan tidak dikhaskan untuk kegunaan yang berat seperti itu.
Sebagai contoh, saya telah mencuba permainan bergrafik tinggi iaitu Genshin Impact dan apa yang boleh saya katakan adalah ia tidak sesuai untuk tablet ini.
Walaupun dengan tetapan yang paling rendah, pergerakan karakter kelihatan lebih lancar namun tetap mengalami beberapa stuttering serta suasana di dalam permainan kelihatan sangat kabur.
Berbeza pula dengan permainan Mobile Legends, saya bermainnya dengan prestasi yang agak lancar tetapi tetap rasa pergerakan karakter yang tersekat-sekat pada tetapan tinggi yang disarankan oleh permainan ini sendiri.
Walau bagaimanapun, suhu tablet ini selepas sesi permainan yang berlanjutan hingga 30 minit dapat memberikan anda pengalaman seperti memegang secawan air suam pada bahagian cip pemprosesan.
Apa yang dapat saya simpulkan kepada anda mengenai tablet ini dari sudut prestasinya adalah ia berada dalam kategori yang standard bagi peranti yang menggunakan cip pemprosesan kelas pertengahan dan telah pun terbukti melalui ujian penanda aras daripada aplikasi Geekbench 6.
Selain daripada pandangan dan kekurangan yang saya nyatakan di atas, tablet ini juga mempunyai kelebihan yang mana dari sudut paparan video dan kualiti bunyinya yang agak bagus dengan sokongan daripada empat pembesar suara Dolby Atmos apabila saya memainkan klip video perlawanan Sukuna dan Mahoraga melalui platform YouTube.
Tambahan lagi, saya ingin menegaskan bahawa sistem pengendalian ColorOS 13.2 yang digunakan oleh tablet ini kadangkala tidak begitu lancar dan sedap atau lebih tepat, tidak konsisten apabila tetapan animasi dihidupkan dan digunakan secara berlebihan.
Ia terserlah apabila melancarkan aplikasi atau beralih ke aplikasi lain. Saya berpandangan yang ia mungkin disebabkan ColorOS 13.2 itu tidak berapa optimum untuk tablet tersebut.
Ini kerana ColorOS sebenarnya adalah antara UI Android terbaik buat masa sekarang dan masalah tersebut tidak dialami pada peranti OPPO lain.
Dari segi jangka hayat bateri, tempoh pengecasannya pula mengambil masa yang agak lama iaitu dari kapasiti 18%, ia memerlukan 1 jam setengah untuk mencapai kapasiti bateri 90%.
Kamera
Kita akan teruskan kepada bahagian kamera tablet ini yang mana ia hanya mempunyai dua kamera sahaja iaitu kamera belakang dan hadapan.
Berdasarkan spesifikasi kamera yang ditawarkan, hasil gambar yang berjaya saya tangkap dengan menggunakan kamera belakang adalah kurang memuaskan hati saya walaupun ia mempunyai ciri ‘AI Scene’.
Ini adalah hasil gambar daripada kamera belakang tablet ini.
Dalam pada itu, mod kamera swafotonya adalah antara perkara yang saya kagumi tentang tablet ini kerana kualitinya yang agak memuaskan dengan kadar fokus yang baik pada sesuatu objek itu.
Ciri Tambahan
Untuk pengetahuan anda, tablet OPPO Pad Neo ini juga dilengkapi dengan slot kad SIM yang menyokong rangkaian 4G LTE dari mana-mana rangkaian telekomunikasi serta membolehkan penggunanya untuk membuat panggilan suara dan video.
Namun begitu, kelajuan sambungan internet itu bergantung kepada liputan syarikat telco di kawasan anda berada.
Hal ini terbukti apabila saya mengukur kelajuan rangkaian telekomunikasi Maxis di kawasan Cyberjaya dengan aplikasi penanda aras daripada Ookla yang menyatakan kelajuan muat turun, muat naik dan resolusi maksimum bagi peranti ini.
Jadi, anda jangan “terpedaya” dengan speed test ini. Sebaliknya, apa yang penting adalah OPPO Pad Neo juga memberikan anda sambungan internet menerusi selular dan tidak banyak tablet pada harga sebegini menawarkan sambungan selular+Wi-Fi.
Kesimpulan
Secara kesimpulannya, saya sejujurnya berasa hampa dengan produk tablet terbaru daripada syarikat OPPO ini kerana mereka mencipta satu peranti yang mana ia mempunyai kekurangan yang terserlah apabila seseorang individu itu memiliki atau mencuba peranti ini.
Namun begitu, saya juga berasa puas hati terhadap kualiti yang diberikan dari sudut paparan video dan bunyi daripada OPPO Pad Neo ini. Seolah-olah, mereka mencipta tablet ini khas untuk kegunaan tontonan skrin besar mudah alih dan juga peranti untuk kanak-kanak.
Jika dilihat kembali pada spesifikasi yang ditawarkan untuk tablet ini, ia berbaloi dengan harganya, iaitu RM1,399.
Beli OPPO Pad Neo di Shopee – https://invl.io/clkntxj
Beli OPPO Pad Neo di Lazada – https://invol.co/clkntxp
Sekiranya anda ingin mencari tablet yang mempunyai pelbagai fungsi, lebih berkuasa, harga yang lebih kurang dan bukan hanya untuk kegunaan tontonan sahaja, ada alternatif lain seperti Xiaomi Pad 6.