OPPO Find N3 merupakan peranti foldable terbaru keluaran OPPO. Bagi kami yang telah merasai sendiri pengalaman menggunakannya, ia agak memuaskan dari segi spesifikasi, prestasi kamera dan skrin.
Tidak keterlaluan jika hendak mengatakan bahawa model ini merupakan foldable phone yang terbaik buat masa sekarang. Walaupun kebanyakkan pengulas atau pengguna di luar sana akan membandingkan dengan Samsung Galaxy Z Fold 5 tetapi OPPO telah berjaya mendahului dan ke depan sedikit dalam segmen foldable phone.
Apa yang ditawarkan dan titik jualan utama pada peranti ini lebih menarik berbanding model pesaingnya. Bagi mereka yang pertama kali menggunakan foldable phone, pasti akan berasa sedikit janggal tetapi jangan risau, ia tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri.
Harganya pula agak mahal dan tidak dikelaskan sebagai telefon pintar mampu milik kerana harganya adalah RM7,999. Kalau digenapkan jadi RM8,000.
Spesifikasi
CPU – Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2
GPU – Adreno 740
Skrin Utama – 7.82 inci, OLED , 120Hz
Skrin Hadapan – 6.31 inci, OLED , 120Hz
Memori – 16GB LPDDR5x
Storan – 512GB UFS4.0
Kamera – 48MP utama, 64MP 3x telefoto, 16MP 6x telefoto, 48MP ultra lebar dengan sokongan makro
Kamera Swafoto – Skrin Utama: 20MP, Skrin Hadapan: 32MP
Bateri – 4805mAh, pengecasan 67W SUPERVOOC berwayar
Lain-lain – Android 13, ColorOS 13.2
Untuk lihat lebih lanjut tentang spesifikasi, boleh klik di SINI
Reka Bentuk dan Saiz Skrin
Berbanding model terdahulu iaitu Find N2, pihak OPPO telah mengubah dari segi reka bentuk skrin yang lebih panjang dan lebar berbanding model terdahulu.
Selain itu, saiz skrin utamanya juga merupakan yang paling besar dalam sejarah foldable buat masa sekarang. Jika ditutup pula, saiz skrinnya sama besar dengan iPhone 15 Pro. Saiznya boleh diterima, tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil
Untuk skrin utama, OPPO berjaya mengurangkan kesan lipatan pada skrin utama berbanding Samsung yang masih bergelut untuk mengatasinya.
Sekiranya anda ingin menonton video atau drama/filem, memang sangat cantik dari segi kualiti skrinnya. Skrin utamanya juga mempunyai fungsi pelbagai tugas yang lebih maju.
Untuk telefon pintar yang biasa selain foldable, anda boleh menggunakan dua fungsi pelbagai tugas (multitask) tetapi untuk model ini anda boleh menggunakan sehingga tiga fungsi pelbagai tugas. Sangat sesuai untuk mereka yang sangat sibuk dan ingin melakukan pelbagai kerja.
Kamera dan Prestasi
Dari segi kamera pula, modul kamera yang berada pada panel belakang agak besar. Apabila anda pegang peranti ini, seolah-olah anda sedang menggunakan kamera digital yang dilengkapi telefon pintar bukan telefon pintar yang dilengkapi kamera digital.
Dari jauh, kamera telefon ini kelihatan kelihatan ganas dan ranggi. Tambahan pula, terdapat kolaborasi dengan hasselblad yang menambah lagi “wow factor” pada prestasi kamera peranti ini.
Untuk “look hasselblad” pada peranti ini kelihatan sama dengan model sebelumnya. Mod hasselblad pada kamera peranti ini akan menyerlahkan lagi warna-warna sinematik pada gambar.
Selain itu, ia juga akan menampakkan gambar tersebut hidup dan lebih statik serta tidak flat. Prestasi kamera ini sebenarnya lebih kurang sama dengan model sebelumnya tetapi telah ditambah baik dengan imej pemprosesan yang lebih bagus.
Untuk mod bokeh, “look hasselblad” memang kelihatan cantik. Dia akan lebih menonjolkan subjek dalam gambar berbanding latar belakang. Gambar tersebut akan kelihatan lebih jelas.
Untuk mod telefoto pula, kamera pada peranti ini mampu zum sehingga 120x. Boleh zoom tanpa lossless sehingga 6x tanpa sebarang cacat cela. Sekiranya anda zum sehingga 10x, 20x atau 50x, gambar tersebut mula kelihatan lossless.
Pada waktu ini, sistem AI akan diuji untuk memainkan peranan bagi memastikan gambar tersebut kelihatan lebih jelas. Sekiranya anda ingin zum sehingga 100x, gambar tersebut akan mula kelihatan pecah.
Selain itu, kestabilan telefon ini juga akan mula terganggu ketika anda zum 100x atau 120x dan anda memerlukan tripod atau meletakkannya pada tempat yang stabil bagi memastikan tiada gegaran untuk zum sejauh itu.
Mod ultra lebar dan makro juga kelihatan cantik dan tiada sebarang isu. Untuk bahagian video pula, ia tiada masalah dan masih kelihatan cantik walaupun menggunakan tetapan 1080P 60FPS. Apa yang kurang pada bahagian video adalah dari segi mikrofon.
Selain itu, walaupun terdapat sedikit hingar pada gambar dan video lowlight yang diambil, namun ia masih boleh diterima.
Untuk gambar pada waktu malam, anda boleh bermain dengan night-trail atau low shutter speed.
Untuk low shutter speed, kalau kita bermain dengan pengcahayaan atau lukisan cahaya dan ditambah dengan tema warna hitam putih, gambar tersebut akan kelihatan lebih hidup.
Untuk mod Xpan pula, gambar tersebut akan diambil secara memanjang ala-ala sinematik menggunakan tema hitam putih. Hasilnya, gambar tersebut akan nampak ada maksud atau dalam bahasa seninya “art berat”. Mod ini juga mempunyai format dan urutan yang terlalu panjang.
Secara keseluruhannya, prestasi kamera ini pasti akan menambat hati pengguna dengan tambahan “look hasselblad” pada kamera.
Siapa Yang Sesuai Memiliki Model Ini?
Model ini sangat disyorkan untuk golongan profesional dan bukan untuk gaming. Sebab apa untuk golongan profesional dan bukan untuk gaming? Sebab dari segi harganya anda boleh dapatkan peranti dengan harga yang lebih mampu milik untuk bermain game.
Jadi, telefon ini jika dibeli dan digunakan akan kelihatan lebih elegan, bergaya dan profesional. Bukan bermaksud telefon ini tidak menyokong untuk bermain game tetapi ia lebih sesuai untuk kegunaan golongan dalam bidang pemasaran atau bisnes walaupun memiliki spesifikasi yang mengagumkan.
Variasi dan Ciri Lain
Dari segi variasi, Oppo hanya membawa masuk satu variasi sahaja iaitu memori 16GB dan storan 512GB. Terdapat juga dua jenis warna yang disediakan iaitu Classic Black yang terdapat kulit pada panel belakang dan Champagne Gold.
Jenis storan pula yang jenis paling laju iaitu UFS 4.0. Selain itu, model ini juga ditambah dengan alert slider. Anda boleh gunakannya sama ada untuk silent, mute atau do not disturb peranti anda.
Ciri tersebut pada asalnya terdapat pada OnePlus model terdahulu. Namun, ciri tersebut telah dibuang oleh pihak OnePlus dan diambil oleh OPPO untuk dipasang pada model Find N3.
Prestasi Bateri
Untuk bateri sebesar 4805mAh, ia boleh bertahan lebih daripada sehari dengan syarat ia hanya boleh digunakan untuk ambil gambar, video, melihat media sosial dan kegunaan kerja sahaja.
Pendek kata, untuk kegunaan harian sahaja selain daripada main game. Jika anda gunakannya untuk bermain game, maka bateri peranti ini hanya mampu bertahan setengah hari sahaja.
Kesimpulan
Kami berharap pihak OPPO tidak menambah lagi saiznya kerana telefon pintar merupakan peranti yang digunakan seharian serta perlu dibawa ke mana-mana sahaja.
Sekiranya OPPO menambah saiz peranti tersebut maka beratnya akan turut bertambah. Jika perkara tersebut berlaku, maka pengguna akan hilang minat terhadap siri foldable yang seterusnya dari OPPO sekali gus mengakibatkan OPPO sukar untuk bersaing dengan jenama-jenama lain.
Beli OPPO Find N3 di Shopee – https://invl.io/clka55z
Beli OPPO Find N3 di Lazada – https://invol.co/clka567