Infinix telah mengeluarkan sebuah peranti kelas pertengahan yang menawarkan spesifikasi hampir setara dengan peranti kelas andalan. Namun, sekiranya anda mempunyai bajet RM1500 sahaja, anda sudah mampu memiliki peranti ini.
Percaya atau tidak? Anda kena percaya kerana harga yang ditawarkan hanya RM1,299. Mari saya perkenalkan kepada anda peranti tersebut iaitu Infinix Zero 30 5G.
Seperti mana yang anda sedia maklum, Infinix sebelum ini pernah mengeluarkan peranti yang mempunyai spesifikasi padu dengan harga mampu milik seperti siri Note 30 dan GT 10 Pro.
Jadi, mari saya ceritakan lebih terperinci tentang spesifikasi Infinix Zero 30 5G beserta reka bentuknya.
Spesifikasi
Infinix Zero 30 5G dikuasakan oleh cip MediaTek Dimensity 8020 yang lebih berprestasi tinggi berbanding Snapdragon 778G+ dan Snapdragon 7 Gen 1.
Jenis memori RAM yang digunakan adalah LPDDR4X dengan kapasiti 12GB. Jenis storan pula adalah UFS 3.1 yang berkapasiti 256GB. Jadi, dengan spesifikasi yang ditawarkan beserta harga yang berpatutan pastinya akan menggiurkan anda sama ada untuk kegunaan harian, professional ataupun bermain game.
Dengan spesifikasi yang ditawarkan pastinya anda tidak akan mengalami sebarang isu untuk bermain mobile game yang sedia ada. Tambahan pula, peranti ini turut dilengkapi liquid cooling system dengan vapor chamber bersaiz 3100mm2.
Reka Bentuk dan Skrin
Peranti ini hadir dengan rekaan moden pada bahagian luarannya. Rekaannya dibina melengkung pada panel belakang dan skrin. Namun, ada perkara yang menarik pada reka bentuk peranti ini iaitu kedua-dua panel hadapan dan belakang dilindungi oleh Corning Gorilla Glass 5. Perkara inilah yang membezakan peranti ini dengan pesaing-pesaingnya.
Kalau diikutkan, Corning Gorilla Glass telah lama diperkenalkan dalam pasaran telefon pintar kerana yang terbaru sudah ada Corning Gorilla Glass 6, Corning Gorilla Glass Victus dan Corning Gorilla Victus 2. Namun, Corning Gorilla Glass 5 masih relevan untuk kelas pertengahan bagi tahun ini dan tahun 2024.
Skrin yang digunakan pula adalah jenis AMOLED dengan kadar segar semula yang paling tinggi iaitu 144Hz. Resolusi skrin FHD+ 1080 x 2400. Namun, sekiranya anda ingin menjimatkan bateri, kami menyarankan anda untuk menetapkan pada mod auto switch refresh rate.
{suggest}
Selain itu, jika anda membuka aplikasi yang menyokong kadar segar semula 120Hz, skrin secara automatik akan menetapkan kadar segar semula paling maksimum yang disokong oleh aplikasi tersebut.
Selain itu, ada satu lagi ciri pada skrin yang kebanyakan orang terlepas pandang. Sekiranya anda perhatikan pada bahagian penjuru kiri, ada tertulis kadar segar semula yang sedang anda gunakan. Ciri ini ada kebaikan dan keburukan tersendiri.
Kebaikannya adalah ia memudahkan anda untuk mengetahui kadar segar semula yang sedang digunakan pada skrin tanpa membuka pada bahagian tetapan. Keburukannya pula, bagi mereka yang ingin menonton video atau movie atau bermain game terutamanya game yang melibatkan ‘maping’, pasti ia sangat-sangat menganggu penglihatan anda.
Namun, anda tidak perlu risau kerana ciri ini boleh di ‘on’ dan ‘off’. Ia bukanlah bersifat kekal kerana tiada yang kekal di atas muka bumi ini.
Kapasiti Bateri dan Kadar Pengecasan
Kapasiti bateri peranti ini didatangkan dengan 5000mAh. Dengan kapasiti sebesar ini, pastinya memadai untuk kegunaan harian anda, korporat dan lain-lain. 5000mAh merupakan kapasiti minimum untuk telefon pintar pada tahun 2023 dan 2024. Selain itu, kadar kelajuan pengecasan pula 68W. Infinix turut menyatakan ianya mampu cas sehingga 80% dalam masa 30 minit sahaja.
Kami sendiri telah mencuba untuk mengesahkannya dan mendapati ia mengambil masa 30 minit untuk cas daripada paras 20% ke bawah hingga paras 70% ke atas. Untuk cas penuh pula, ianya mengambil masa sekitar 45 minit.
Secara keseluruhannya, jika peranti tersebut mengambil masa bawah satu jam untuk di cas penuh, ia memang berbaloi untuk digunakan.
Prestasi Kamera
Peranti ini turut dilengkapi tiga lensa kamera dengan lensa utama 108MP beserta OIS. Kami turut berpuas hati dengan kualiti gambar yang dihasilkan dari segi kontras, kejelasan warna dan ketajaman gambar tersebut. Ianya berpatutan dan kompetitif dalam kelas harganya.
Namun, perkara tumpuan atau key selling point pada peranti ini adalah kamera swafoto. Untuk pengetahuan anda, kamera swafoto peranti ini adalah 50MP. Selain itu, kamera swafoto peranti ini juga boleh merekod video pada resolusi 4K 60fps dan ia merupakan satu-satunya peranti yang mempunyai ciri ini pada kelasnya.
Dengan ciri yang ditawarkan, peranti ini sangat-sangat sesuai untuk kaki vlog, kaki travel dan kaki hiking. Akan tetapi, bila difikirkan sejenak, resolusi 4K 60 fps makan ruang storan yang agak banyak walaupun hanya video pendek untuk sosial media. Jadi, kalau anda ingin kurangkan risiko storan penuh, resolusi 1080p 60fps sudah memadai.
Namun, kamera swofoto tidak dihadirkan dengan EIS. Fungsi EIS adalah untuk lebih mencantikkan dan menstabilkan video yang diambil. Jadi, ia agak signifikan untuk dihadirkan dalam peranti pintar.
Sekiranya anda ingin merakam video menggunakan kamera utama pula, tiada pilihan untuk tukar lensa fokus kepada ultra lebar. Sekiranya anda ingin tukar kepada ultra lebar, anda perlu hentikan rakaman terlebih dahulu, kemudian baru tukar dan sambung semula rakaman.
Jadi, ia agak rumit dan perlu membuat kerja berulang kali terutamanya untuk mereka yang memang perlu buat tugasan merakam video.
Ciri Lain dan Sokongan Perisian
Selain itu, peranti ini turut mempunyai Hi-res audio dengan DTS, NFC dan sokongan rangkaian 5G. Selain itu, peranti ini juga kalis air dan kalis debu dengan IP53 serta boleh menjana AI Wallpaper.
Namun, terdapat satu perkara yang boleh membuat anda turn off dengan peranti ini iaitu dari segi sokongan perisian. Seperti yang pernah diberitahu dalam artikel sebelum ini, sokongan perisian merupakan salah satu elemen penting dalam telefon pintar.
Sokongan perisian boleh diibaratkan sebagai antibodi dalam peranti tersebut. Tiada gunanya jika memiliki otak yang ampuh tetapi mempunyai antibodi yang rapuh. Ia pasti akan memudahkan peranti anda untuk dicengkam oleh penggodam.
Elemen ini ramai terlepas pandang. Namun, anda perlu cakna kerana elemen ini adalah asas dalam sesebuah peranti pintar. Untuk Infinix Zero 30 5G, sokongan perisiannya tidak dinyatakan secara rasmi oleh pihak Infinix sendiri di laman sesawangnya.
Ia pasti akan membuatkan kebanyakkan pengguna di luar sana berpaling tadah terutamanya bagi yang mementingkan sokongan perisian. Jadi, diharapkan pihak Infinix dapat menyediakan sokongan perisian pada peranti mereka akan datang sekurang-kurangnya 2 tahun kemas kini Android dan 3 tahun kemas kini keselamatan.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya Infinix Zero 30 5G memang agak padu dari segi spesifikasi, kamera, skrin dan bateri. Namun, apa yang kurang adalah dari segi sokongan perisian.
Diharapkan pihak Infinix dapat menyelesaikan masalah ini supaya Infinix tidak kehilangan peminat tegar mereka. Hal ini kerana, masalah ini tidak hanya timbul pada model Zero 30 5G sahaja. Boleh dikatakan semua peranti Infinix mengalami masalah yang sama.
Contohnya seperti Infinix GT 10 Pro yang hanya menawarkan 1 tahun kemas kini Android dan 2 tahun kemas kini keselamatan.
Beli Infinix Zero 30 5G di Shopee – https://invl.io/clkf0ld
Beli infinin Zero 30 5G di Lazada – https://invol.co/clkf0lj