Tablet telah menjadi peranti yang asas untuk dimiliki bagi mereka yang bekerja dalam bidang digital seperti ahli perniagaan, karyawan, pencipta kandungan dan juga pelajar institut pengajian tinggi.
Tablet juga boleh menjadi pengganti komputer kerana tablet mudah dan ringan untuk dibawa ke mana sahaja. Tambahan pula, kebanyakan tablet masa kini dijual dengan papan kekunci bluetooth yang mampu menjadikan tablet tersebut berfungsi persis komputer.
Untuk mereka yang sudah terbiasa menggunakan atau membawa komputer riba ke mana sahaja pasti akan merasakan kelainan kerana dari segi saiz skrin tidaklah sebesar komputer riba.
Namun, tidak bagi Huawei MatePad Pro 13.2. Dengan skrin sebesar 13.2 inci pastinya akan memberi kepuasan kepada hati pengguna.
Huawei MatePad Pro 13.2 didatangkan dengan dua varian iaitu 12GB RAM/256GB ROM dan 12GB RAM/512GB ROM. Untuk varian 12GB RAM/256GB ROM berharga RM4,599 manakala varian 12GB RAM/512GB ROM berharga RM4,999.
Namun, adakah prestasinya setara dengan harga? Mari kita lihat.
Rekaan
Apa yang diberikan sekali dalam pakej pembelian Huawei MatePad Pro 13.2? Untuk pengetahuan anda, pembelian tablet ini diberikan sekali keyboard case dan Huawei M-Pencil. Untuk dalam kotak tablet pula, diberikan sekali wayar USB-C 3.1 dan pengecas 88W.
Dari segi rekaan tablet pula, ia dibina daripada fiberglass dengan nano-scale coating yang menampakkan tablet kelihatan lebih metalic. Untuk pilihan warna ada dua iaitu hijau dan golden black.
Dari segi ukuran pula, lebar 289.2mm, panjang 196.1mm dan tebal 5.5mm. Beratnya pula sekitar 580g termasuk bateri dan tablet ini lebih ringan daripada mana-mana tablet yang bersaiz 12 inci.
Saiz besar, ringan pulak tu. Memang selesa untuk dibawa ke mana sahaja. Anda tidak perlu risau tangan lenguh atau sakit kerana sepanjang pengalaman saya membawanya ketika menaiki motosikal dan meletakkannya dalam beg, memang kurang rasa beban berbanding saya membawa komputer riba sebelum ini.
Selain itu, terdapat juga port USB-C 3.1 dan dua pembesar suara pada sebelah kanan. Pada bahagian atas pula ada magnet untuk menempatkan dan cas Huawei M-Pencil. Terdapat juga 3 lubang mikrofon dan butang laras audio.
Bahagian kiri pula ada dua pembesar suara dan butang kuasa. Jika anda seorang yang gemar menggunakan fon telinga berwayar, pasti akan berasa janggal sedikit disebabkan tiada bicu audio pada tablet ini. Jadi, anda perlu menggunakan TWS atau fon kepala bluetooth sebagai penggantinya.
Kualiti Audio
Apa yang anda nampak pada tablet hanya 4 pembesar suara sahaja. Akan tetapi, sebenarnya ada 6 iaitu 4 custom woofers dan 2 tweeters. Ia ditala sendiri oleh Huawei dengan Full-Stack Huawei Sound Technologies.
Kualiti audionya sangat menakjubkan dan cukup terperinci. Anda akan terlena dibuai keasyikan halwa telinga dek kerana kualiti audio yang dihasilkannya.
Selain itu, tablet ini merupakan tablet pertama yang menggunakan Multi-Driver Array Speaker. Inovasi ini meletakkan lebih banyak voice coils dan magnetic circuit arrays berbanding tablet lain yang hanya menggunakan Universal Single-Drive Speaker.
Prestasi Kamera
Terdapat dua lensa pada kamera utama. Lensa utama 13MP yang menyokong resolusi 4k 30fps serta 1080p 60fps untuk mengambil video manakala lensa ultra lebar pula 8MP yang menyokong resolusi 1080p 30fps untuk mengambil video.
Kamera swafoto pula 16MP yang menyokong resolusi 1080p 30fps untuk mengambil video. Kedudukannya berada pada bahagian atas dan tengah-tengah. Selain itu, ia turut mempunyai sokongan EIS yang membantu video untuk kelihatan lebih stabil.
Kamera utama juga terdapat ciri auto fokus yang mana ciri ini tidak tersedia pada kamera swafoto. Kamera utama mempunyai EIS tetapi hanya pada resolusi 1080p 30fps sahaja. Kamera ultra lebar tidak menyokong 4k 30fps, hanya 1080p 30fps sahaja dan turut ada EIS.
Bagi pendapat saya, resolusi 4k 30fps dan ciri auto fokus perlu diletakkan pada kamera swafoto dan bukan pada kamera utama. Hal ini kerana, kebanyakan mereka yang menggunakan tablet pasti akan lebih menggunakan kamera hadapan berbanding kamera belakang untuk tujuan google meet dan sebagainya.
Secara keseluruhannya kamera hadapan adalah yang paling penting dan perlu berkualiti berbanding kamera lain.
Skrin
Skrin tablet ini bersaiz 13.2 inci. Jenis skrin yang digunakan pula adalah panel Flexible OLED. Kadar resolusi pula 2880 x 1920 piksel. Tahap kecerahan pula sehingga 1000 nits. Kadar segar semula 144Hz serta ada ciri HDR10.
Skrin Huawei MatePad Pro 13.2 turut menggunakan teknologi Huawei X-True Display yang mampu memberikan ketepatan warna, dapat memberi perbezaan antara cahaya dengan bayang-bayang, mampu menghadirkan visual yang lembut dan jelas serta mempunyai perlindungan mata yang mendapat pensijilan daripada TÜV Rheinland Global Eye Care 3.0.
Kualiti skrinnya turut terjamin walaupun digunakan di luar (outdoor) kerana skrinnya tidak akan terjejas terhadap biasan cahaya matahari. Bezel yang nipis menjadikan skrin kelihatan lebih luas dengan ukuran yang tidak terlalu besar. Jadi, nisbah skrin ke badan boleh mencapai sehingga 94% dan ia merupakan yang tertinggi untuk mana-mana tablet masa kini.
Skrin tablet ini juga bersifat glossy tetapi pantulan pada skrin sangat minimum. Jadi, pantulan wajah atau cahaya kelihatan agak terbatas jika dibandingkan dengan skrin glossy yang lain sekali gus menjadikannya sedap mata memandang serta memelihara tahap kesihatan mata.
HUAWEI Smart Magnetic Keyboard
Papan kekunci ini menawarkan PC Class Typing Experience. Mempunyai 6 baris dan 79 kekunci. Kekuncinya agak selesa digunakan kerana saiznya yang agak besar dan senang untuk menaip.
Ketika menaip terasa tidak terlalu kosong dan tidak terlalu berisi. Touchpad juga mempunyai ukuran yang besar. Lebih besar daripada yang ditawarkan pada iPad Pro. Kedudukannya yang berada di tengah-tengah menambah keselasaan untuk menggunakannya.
Touchpad juga turut menyokong pelbagai gestur seperti dua jari atas bawah untuk menatal (scroll), tiga jari ke atas untuk ke skrin utama, leret tiga jari ke atas kiri untuk split screen dan leret 3 jari ke atas kanan untuk floating windows. Papan kekuncinya juga kelihatan persis papan kekunci komputer riba Huawei yang lain.
Mod Penggunaan
Tablet ini mempunyai 3 mod iaitu laptop mode, split mode dan studio mode. Laptop mode boleh digunakan seperti laptop konvensional yang lain.
Split mode pula merupakan mode yang agak unik kerana anda boleh pisahkan papan kekunci daripada tablet dan boleh menggunakannya seperti biasa. Hal ini kerana, HUAWEI Smart Magnetic Keyboard tidak perlu sambungan pin seperti tablet jenama lain.
Tablet jenama lain menggunakan sambungan pin tanpa bergantung kepada bluetooth semata-mata kerana risau ada delay. Namun, kerisauan tersebut tidak berlaku pada Huawei MatePad Pro 13.2 kerana sepanjang pengalaman saya menggunakan split mode, memang tiada delay langsung.
Untuk mod yang terakhir pula iaitu studio mode, mod ini digunakan persis tablet pelukis komik atau animasi. Mod ini memang sesuai untuk menulis atau melukis menggunakan Huawei M-Pencil.
Huawei M-Pencil (3rd Generation)
Ia merupakan M-Pencil paling baharu yang dikeluarkan oleh Huawei. M-Pencil ini mempunyai teknologi Nearlink dengan Next Gen Short Haul Wireless Technology.
M-Pencil generasi ketiga ini mempunyai 60% penggunaan tenaga yang lebih cekap kuasa, kadar penghantaran data 6x lebih cepat serta kependaman (latency) 1/30 saat (extreme low latency).
M-Pencil ini juga boleh mencapai 10,000 level pressure sensing dan merupakan yang tertinggi boleh dicapai oleh stylus. Untuk pengetahuan anda, stylus generasi sebelumnya dan jenama lainnya hanya boleh mencapai sekitar 4000 hingga 8000 level pressure sensing sahaja.
M-Pencil ini juga boleh menulis atau melukis walaupun terdapat kertas A4 sehingga 20 keping pada skrin tablet dan apa yang menakjubkan adalah tiada delay langsung.
Oleh itu, Huawei MatePad Pro 13.2 memang sesuai untuk mereka yang minat atau baru belajar melukis. Teknik juga boleh digunakan seperti anda menekap gambar pada kertas lukisan. Pengalaman melukis dan menulis yang ditawarkan pada tablet ini merupakan pengalaman yang paling canggih sekali.
Prestasi
Huawei MatePad Pro 13.2 dikuasakan cip Kirin 9000S sama seperti yang digunakan pada Huawei Mate 60 Pro. Cip ini juga merupakan cip pemprosesan terbaru dari Kirin dan merupakan cip yang menggunakan prestasi teras buatan mereka sendiri. GPU pula menggunakan Maleoon 910. Dari sudut Skor Geekbench 6 pula, untuk teras tunggal 1161 manakala berbilang teras 4025.
Untuk prestasi gaming pula, saya telah cuba bermain PUBG Mobile. Grafiknya boleh mencapai smooth extreme dan fps maksimum 60 fps tetapi secara keseluruhan penggunaannya 59 fps dan boleh turun minimum 55 fps sahaja. Pubg Mobile boleh dimuat turun dan tersedia di Huawei App Galery.
Memori pula hanya ada satu pilihan sahaja iaitu 12GB RAM manakala storan pula ada dua pilihan iaitu 256GB dan 512GB.
Bagi kegunaan lain, memang sentiasa terasa lancar dan jarang memberikan masalah.
Bateri dan Pengecasan
Kapasiti bateri pula adalah sebesar 10100mAh. Dari segi ketahanan, saya cuba memainkan video dengan resolusi 1080p tanpa henti dan ia boleh bertahan sekitar 14 jam.
Tablet ini turut disokong dengan pengecasan pantas 88W dan apa yang menarik pada pengecas ini, iaitu turut disediakan port USB-C dan USB-A. Untuk cas dari 0% hingga 85% hanya 40 minit manakala 0% hingga 100% hanya 65 minit menurut Huawei.
Saya telah mencuba juga cas dari 19% hingga 100% hanya 1 jam sahaja masa yang diambil. Ini merupakan antara tablet dengan skrin besar dan bateri besar yang mempunyai pengecasan paling pantas dalam kelasnya.
Ciri Khas Lain
Dari segi sensor pula, tablet ini mempunyai sistem pengecaman wajah tetapi tidak ada sistem pengimbas cap jari. Dari segi ketersambungan pula, ia hanya menyokong sambungan Wi-Fi dan tiada data selular kerana tiada slot kad sim.
Untuk output paparan pula, terdapat dua kaedah sama ada menggunakan wayar atau bluetooth. Untuk wayar, anda boleh membuat sambungan projektor, TV dan monitor. Untuk bluetooth pula, hanya peranti Huawei dan peranti yang boleh membuat sambungan bluetooth sahaja yang mempunyai akses.
Sistem Operasi dan Aplikasi Sokongan
Huawei MatePad Pro 13.2 menggunakan sistem operasi Harmony OS 4.0.0. HarmonyOS ialah sistem operasi yang boleh dijalankan pada pelbagai peranti pintar.
Ia membolehkan peranti pintar yang berbeza untuk digunakan dalam bahasa yang sama, memudahkan sambungan dan kerjasama yang lebih baik serta membawa pengalaman interaksi yang mudah, lancar, berterusan, selamat dan boleh dipercayai dalam semua situasi.
Huawei MatePad Pro 13.2 turut menyediakan WPS Office Suite yang membolehkan perisian seperti Words digunakan dalam tablet ini. Terdapat juga kemas kini dalam perisian ini untuk 2024 seperti menyokong multi-Windows, boleh cetak dokumen secara langsung, menyokong SuperHub dan juga terdapat ciri CloudSync.
Jadi, anda boleh mengerjakan sesebuah dokumen dalam tablet ini pada peranti lain seperti laptop. Anda hanya perlu log masuk sahaja kerana dokumen dan data tersebut telah disimpan dalam storan awan.
Selain itu, aplikasi Quick Notes pada tablet ini yang mempunyai fungsi instant shape. Ciri ini berfungsi apabila anda melukis sesuatu bentuk, secara automatik bentuk tersebut akan dirapikan sendiri.
Selain itu, terdapat juga ciri highlighter persis anda menggunakan warna Faber-Castell di kertas. Cara menggunakannya buat garisan menggunakan highlighter pada tempat yang ingin digaris dan garisan tersebut akan dirapikan secara automatik. Ciri ini dapat membuatkan penulisan kita menjadi lebih kemas.
Terdapat juga ciri handwriting to text conversion. Ciri boleh mengubah tulisan yang ditulis menggunakan M-Pencil menjadi format teks. Bagi yang minat menyunting video atau pencipta kandungan, percayalah tablet ini boleh dijadikan “komputer riba” untuk anda. Tambahan pula, aplikasi capcut memang dah tersedia tanpa perlu dimuat turun.
Selain itu, terdapat juga canva untuk suntingan gambar dan video serta mojing paint untuk melukis dan mewarna. Sekiranya anda ingin menggunakan G-mail, anda boleh log masuk melalui Huawei Mail.
Untuk aplikasi meeting seperti Google Meet, anda boleh menggunakannya melalui pelayar atau quick apps manakala untuk Microsoft Team dan Zoom pula ianya terdapat dalam Huawei App Galery tetapi perlu memuat turunnya melalui aplikasi pihak ketiga.
Sekiranya anda ingin membuka YouTube, anda perlu melalui GBOX untuk membuka dan memainkannya manakala platform penstriman lain anda boleh terus log masuk tanpa melalui GBOX.
Di samping itu, terdapat juga ciri super device yang mempunyai 3 mod iaitu Mirror Mode, Extend Mode dan Collaborate Mode. Extend Mode berfungsi menjadikan tablet sebagai monitor kedua.
Mirror Mode boleh menampilkan kandungan laptop ke dalam tablet manakala Collaborate Mode berfungsi untuk memindahkan fail dengan hanya drag dan drop sahaja.
Perkara Yang Perlu Diambil Berat
Bagi pengguna tegar ekosistem Google, anda tidak perlu risau kerana sebahagian aplikasi Google boleh dijalankan dalam Huawei MatePad Pro 13.2. Namun, bukan sepenuhnya normal kerana ada sebahagiannya perlu melalui GBOX untuk tujuan menjalankan atau memuat turun aplikasi tersebut.
Jika anda boleh hidup tanpa Google, pastinya tablet ini tidak akan membebankan anda. Selain itu, tablet ini tiada IP rating. Jadi, anda perlu elak menggunakannya di tempat yang basah atau dalam waktu hujan.
Dari segi prestasi, tablet ini dikuasakan oleh cip Kirin 9000S yang setanding dengan cip Snapdragon 888. Jadi, masalah lag memang kurang pada tablet ini sama ada untuk kegunaan harian, layan platform penstriman mahupun main game.
Rumusan
Sekiranya anda mencari tablet yang mampu menjalankan kerja-kerja multi-tasking, maka Huawei MatePad Pro 13.2 adalah pilihannya. Tablet ini memang cukup berkuasa dari segi prestasi dan juga skrin.
Jadi, untuk penggunaan harian mahupun bermain game, memang tiada masalah. Dengan skrin yang besar, nipis dan ringan serta berteknologi tinggi, anda memang akan puas menggunakannya.
Walaupun tablet Huawei ini mampu mengendalikan aplikasi daripada Google, caranya adalah sedikit berbeza dan bagi anda yang berasakan ini menyusahkan atau leceh, boleh elakkan membeli peranti ini.
Namun, jika bagi anda perkara tersebut bukanlah masalah utama, MatePad Pro 13.2 ini memang cukup terbaik dalam kelasnya. Kena dengan harga dan anda juga dapat kesemua aksesori sekali bagi setiap pembelian.
Beli MatePad Pro 13.2 di Shopee – https://invl.io/clkkywx
Beli MatePad Pro 13.2 di Lazada – https://invol.co/clkkyxc
{suggest}