Devialet Mania ialah sebuah pembesar suara dari Perancis dengan audio 360 darjah yang bermakna ia mengeluarkan bunyi daripada kesemua arah, tidak seperti speaker biasa.
Harganya di Malaysia ialah RM4,490 namun untuk edisi khas Devialet Mania Opéra de Paris dengan warna putih, ia berharga RM5,490.
Dengan rekaan unik ini, mampukan ia menjadi speaker yang berkuasa dan apakah ia berbaloi dengan harganya?
Rekaan dan ciri fizikal
Seperti tajuk artikel, speaker ini datang tubuh bulat dan sedikit leper di bawah untuk mudah berdiri. Di atasnya, ada semacam cakuk untuk anda mudah bawanya ke mana-mana.
Ia agak berat dan kali pertama mengangkatnya, agak terkejut kerana saiznya tidak menggambarkan jisim. Tapi tak mengapa, ini memberikan impresi kualiti yang akan dibawanya.
Di kiri dan kanan, ada 6 butang (kuasa, main, laras kuasa, bateri dan Bluetooth) dan 1 tombol mikrofon untuk privasi. Lampu LED di bahagian atas untuk kawalan manakala LED di bawah pula khas untuk bateri.
Jika mikrofon dimatikan, anda tidak boleh guna Alexa dan Active Stereo Callibration.
Hampir keseluruhan tubuhnya dibalut dengan kain.
Selain itu, ia mempunyai tahap perlindungan percikan air IPX4.
Sambungan
Bebola pembesar suara menyokong sambungan Bluetooth tapi juga Wi-Fi dan digunakan menerusi aplikasi Devialet.
Apabila disambung bersama Wi-Fi dan aplikasi, anda boleh gunakan AirPlay. Bagi pengecasan, ia menggunakan kabel USB-C dan kalau tanpa wayar, dock daripada Devialet sendiri.
Ia tidak boleh disambungkan dengan AUX atau mana-mana kabel untuk memainkan audio.
Menariknya, ia menyokong Spotify Connect, AirPlay, Qobuz, Deezer, Tidal, Audirvana dan radio web secara langsung. Bahkan, ia juga akan hadir dengan sokongan Spatial Audio daripada Apple Music kelak.
Kalau anda pilih mainkan Spotify dengan sambungan Wi-Fi (Spotify Connect, misalnya) atau AirPlay, butangnya sangat responsif seperti main dan jeda lagu. Namun kalau dengan Bluetooth, ada sedikit delay seperti speaker lain.
Seperti biasa di Wiser, kami akan saling bergilir menggunakan satu-satu speaker. Di sinilah timbul isu, ada sesetengah peranti menghadapi masalah untuk disambung dengan Mania melalui Bluetooth walaupun merupakan model dan jenama yang sama.
Bahkan, ketika saya gunakannya sendiri dengan peranti sama pun kadangkala bermasalah. Saya cuba rujuk manual namun ia terlalu ringkas. Saya baca FAQ di laman web Devialet untuk lebih faham namun ia masih tidak berpuas hati.
Mematikan dan menghidupkannya juga agak mengelirukan kerana bila sudah dimatikan, kadang-kadang tidak pula dapat dihidupkan walaupun pelbagai butang telah ditekan lama-lama.
Menurut manual, ia dalam mod standby tetapi tidak memberi respons bila cuba diaktifkan.
Audio
Dengan julat frekuensi daripada 30Hz hingga 20kHz, kekuatan Mania ialah bass. Saya secara peribadi tidak kisah tentang ciri 360 darjah kerana jika audio diterbitkannya tidak bagus, ciri surround sound ini tidak bermakna.
Bab audio — terbaik.
Bunyi nyaring high dan mid terkawal dan jelas manakala besnya ‘dalam’ dan kemas. Bahkan, soundstage diperdengarkannya juga agak kaya dan menjadikannya sebuah speaker yang versatil.
Dalam apa-apa peranti audio, bass menjadi keutamaan saya. Kalau audiophile, pastinya standard ditetapkan lebih tinggi jadi mungkin tidak memuaskan hati anda.
Namun sebagai pendengar biasa, saya sudah cukup kagum dengan kemampuan besnya, ditambah lagi bentuk dan saiz yang tidak terlalu besar.
Active Stereo Calibration pula tidak membawakan sebarang perubahan pun, sekurang-kurangnya pada telinga saya. Ciri ini memastikan pada mana-mana ia diletakkan seperti hampir sebelah dinding atau tengah ruang tamu, kelantangannya dikeluarkan sama.
Aplikasi
Anda boleh sambungnya dengan aplikasi Devialet namun wajib disambung dengan Wi-Fi. Antara muka dan navigasinya ringkas dan lancar.
Menerusinya, anda boleh kawal kelantangan, laraskan equalizer, aktifkan Active Stereo Callibration, matikan LED dan ketahui peratusan bateri.
Pun begitu, disebabkan peranti ini sendiri ada isu dalam sambungan, jadi aplikasinya juga tidak dapat digunakan sebaik mungkin.
Tiada isu dalam aplikasi, tapi anda langsung tidak boleh gunakannya jika ia tidak dapat kesan Wi-Fi atau speaker walaupun telefon anda sudah pun terhubung.
Kesimpulan
Devialet Mania ialah sebuah pembesar suara 360 darjah dengan bes yang sangat bagus. Bagi mid dan high, ia memuaskan hati saya sebagai seorang pengguna biasa.
Kekuatannya ialah dari segi rekaan, 360 stereo dan bes. Letak saja mana-mana, anda masih dengan kelantangan yang sama dengan soundstage yang baik.
Ciri audio 360 darjah ini agak membantu walaupun tidaklah mustahak.
Kekurangannya pula ialah dari segi harga dan sambungan. Dengan harga RM4,490, banyak lagi pilihan tersedia yang lebih mudah digunakan dari segi sambungan.
Ringkasnya, saya sangat suka dengan audionya tapi tidak dari segi penggunaan dan sambungan.
Jadi, selepas membaca ulasan ini, apakah anda berminat untuk mencubanya? Untuk spesifikasinya, anda boleh semak di laman web Devialet.
Berminat nak beli Devialet Mania? Klik SINI untuk belinya melalui Lazada.