Gergasi teknologi China, Huawei telah melancarkan cip 5nm baharunya iaitu Kirin 9006C walaupun terdapat cubaan daripada AS untuk melumpuhkan syarikat gergasi tersebut.
{suggest}
Perkembangan ini berlaku hanya beberapa bulan selepas pelancaran cip Kirin 9000S 7nm yang digunakan pada telefon pintar siri Mate 60 terbarunya.
Sekatan daripada AS telah memberi kesan teruk terhadap sektor teknologi China terutamanya Huawei yang sangat bergantung dengan teknologi daripada AS.
Antara sekatan yang dikenakan adalah sekatan terhadap akses kepada semikonduktor dan silikon penting daripada syarikat gergasi AS seperti Qualcomm.
Walau bagaimanapun, sekatan tersebut tidak melunturkan semangat mereka untuk meraih kejayaan. Hasilnya, pada awal tahun ini, Huawei berjaya melancarkan pemproses ARM 7nm iaitu Kirin 9000S.
Pemproses itu dikeluarkan oleh SMIC (Semiconductor Manufacturing International Corporation). Cip tersebut dikuasakan pada siri Mate 60. Siri tersebut telah berjaya memecahkan rekod jualan telefon pintar di China.
Walaupun Kirin 9000S tidak setanding dengan SoC yang dikeluarkan oleh Qualcomm dan MediaTek, namun ia jauh lebih maju daripada cip sebelumnya yang pernah dihasilkan oleh SMIC.
Apa itu Kirin 9006C?
Pemproses baharu ini mempunyai lapan teras CPU ARM (empat A77 dan empat A55) dengan clockspeed maksimum 3.13GHz. Walaupun spesifikasinya kurang mengagumkan, akan tetapi, tumpuan utamanya adalah pada teknologi nod proses 5nm.
Buat masa sekarang, Kirin 9006C hanya boleh didapati pada laptop Qingyun L540 Huawei. Terdapat juga khabar angin yang mencadangkan kepada Huawei untuk menggabungkan cip Kirin 5nm baharu ini ke dalam siri telefon pintar P70 yang dijangka bakal dilancarkan awal tahun hadapan.
Sumber: Gizmochina