Sebuah syarikat komputer dari China telah membina sebuah komputer riba dengan konfigurasi unik yang menawarkan spesifikasi sehingga cip pemprosesan AMD EPYC 64 Teras, kuasa grafik komputer meja NVIDIA RTX 4080 dan menggunakan sistem penyejukan radiator.
Komputer riba ini didatangkan dengan dua konfigurasi CPU AMD EPYC yang berbeza iaitu EPYC 7713 dan EPYC 9554, kedua-duanya adalah cip 64 teras berdasarkan seni bina Zen 3 dan Zen 4 yang biasa digunakan untuk komputer pelayan (server).
Selain daripada penggunaan CPU EPYC AMD, komputer riba ini juga dimuatkan dengan GPU GeForce RTX 4080 NVIDIA untuk komputer meja.
Jadi adalah luar biasa apabila kad grafik berkuasa seperti ini dapat dimuatkan ke dalam komputer riba tersebut.
Dari imej yang dikongsikan, komputer riba itu adalah jauh lebih besar dan lebih tebal daripada komputer riba moden yang ada di pasaran.
Tetapi memandangkan ia dilengkapi CPU & GPU berkuasa tinggi yang disepadukan ke dalam komputer riba, ketebalan dan saiznya bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Malah komputer riba ini dilengkapi dengan mekanisme penyejukan “tersendiri” di mana ia mempunyai sistem penyejukan cecair terbina dalam yang pertama di dunia yang menggunakan radiator dan bukannya paip seperti kebiasaannya untuk pelesapan haba.
Ia dilengkapi dengan pam air dan tangki air terbina dalam untuk memastikan komponennya sentiasa sejuk.
Peranti ini dilengkapi dengan skrin resolusi 2.5K 17.3 inci dengan kadar segar semula 240Hz (boleh dinaik taraf kepada paparan 4K 120Hz).
Komputer riba ini sememangnya direka untuk dijadikan stesen kerja yang masih lebih mudah dibawa daripada memindahkan komputer meja dengan perkakasan yang serupa.
Dibangun dan diedarkan oleh Zhanjiang Xinjuneng Technology Co., Ltd., jualan komputer riba REV-9 SERIES ini akan bermula eksklusif di Taobao pada 19 Disember 2023.
Walaubagaimanapun setakat ini, belum ada lagi info mengenai harga jualannya.
{suggest}
Sumber: pconline