Huawei Technologies telah melancarkan telefon pintar andalan baharunya, Mate 60 Pro di mana ia juga adalah telefon pintar pertama di dunia dengan ciri panggilan satelit.
Jika iPhone Apple hanya boleh menghantar mesej teks kepada perkhidmatan kecemasan melalui satelit apabila berada di kawasan terpencil tanpa perkhidmatan selular, telefon baharu Huawei itu pula boleh membuat penghantaran mesej teks dua hala yang disokong satelit dan boleh membuat panggilan satelit.
Keupayaan itu dicapai Mate 60 Pro dengan adanya Sistem Satelit Navigasi BeiDou (BDS) yang dipacu oleh sistem navigasi satelit China, menandakan satu kejayaan dalam memanfaatkan teknologi satelit yang mahal untuk pasaran pengguna secara besar-besaran.

Sistem BeiDou itu membenarkan peranti menghantar data berkapasiti rendah ke satelitnya, berkongsi lokasi mereka dan menerima mesej kembali daripada satelit.
Itu menandakan perbezaan utama daripada sistem satelit saingan seperti Sistem Penentududukan Global Amerika (GPS) dan Glonass Rusia dan Galileo Eropah, yang tidak boleh menghantar mesej kembali ke peranti.

Kerajaan China mula membangunkan sistem BeiDou pada akhir 1990-an dahulu lagi untuk mengurangkan pergantungan tentera mereka kepada GPS yang dibina oleh A.S.
Ia mencapai kejayaan besar pertamanya pada tahun 2000, apabila satelit BeiDou dilancarkan untuk memberikan keupayaan sistem navigasi meliputi China.
BeiDou mula menyediakan perkhidmatan untuk digunakan dalam operasi ketenteraan, pengurusan pengangkutan dan tindakan polis di rantau Asia-Pasifik pada 2012, apabila permintaan pengguna untuk peranti yang disambungkan meningkat.
Liputan global BeiDou telah siap pada Julai 2020 selepas satelit terakhir dalam buruj BeiDou ketiga, yang dikenali sebagai BDS-3, dilancarkan pada pertengahan 2020.
Sejak itu, China telah mempercepatkan pengembangan aplikasi untuk kegunaan awam. Ia juga sedang bersedia untuk membina sistem BDS-4 generasi akan datang menjelang 2035 dengan ketepatan yang lebih tinggi dan jangkauan global.
Sehingga Januari 2023 sahaja, sejumlah 1.5 bilion peranti pintar di seluruh dunia telah dipautkan kepada BeiDou, menurut data yang disediakan oleh Persatuan GNSS & LBS China.
Kira-kira 98% daripada telefon pintar yang dijual di China pada separuh pertama 2022 dilengkapi dengan ciri navigasi BeiDou, menurut persatuan itu.
Pada asalnya, peranti yang didayakan BeiDou memerlukan kuasa penghantaran minimum 10 watt. Kini keperluannya hanyalah sebayak 3 watt sahaja, bermakna peranti yang lebih kecil seperti telefon pintar boleh dilengkapi dengan sistem satelit ini.
Memandangkan pesanan ringkas BeiDou menggunakan satelit orbit tinggi sejauh 36,000 kilometer dari permukaan bumi, menyebabkan isyaratnya lemah dan biasanya hanya menyediakan alat komunikasi untuk kecemasan sahaja.
Ciri panggilan satelit dalam Mate 60 Pro menggunakan satelit Tiantong 2, yang menyediakan bilangan saluran yang terhad dan tidak dapat menyokong ramai pengguna pada masa yang sama, kata Cao Chong, pengarah Pusat Sumber Maklumat di Persatuan GNSS & LBS China.
Jadi, untuk mencapai aplikasi massa komunikasi satelit, China perlu membina sistem satelit orbit rendah serupa dengan Starlink Elon Musk, kata Cao Chong.
Perkhidmatan Internet menggunakan satelit di orbit Bumi rendah (LEO) adalah tumpuan persaingan global oleh pengeluar utama satelit LEO termasuk Iridium Communications, SpaceX, Globalstar, Telesat dan OneWeb Satellites
Lima syarikat teratas ini menyumbang kepada 95% daripada pasaran internet satelit global. Amerika Utara adalah pasaran terbesar dengan 74%, diikuti oleh Eropah dengan 19% dan China 3%.
Pada April 2020, China telah memasukkan internet satelit dalam rancangannya untuk membina infrastruktur rangkaian komunikasi baharu. Pada bulan September tahun itu, China menyerahkan pelan buruj satelit China SatNet (Guowang), yang terdiri daripada 12,992 satelit, kepada Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa.
China merancang untuk melengkapkan pelancaran pertama menjelang 2023, dengan matlamat untuk membentuk rangkaian 300 satelit menjelang 2030.
{suggest}
Sumber: Nikkei Asia