ASUS kini mengesahkan pelancaran siri Zenfone 7 adalah pada minggu hadapan, 26 Ogos. Acara pelancaran tersebut akan diadakan di Taiwan serta secara penstriman langsung melalui saluran rasmi Youtube ASUS pada jam 2 petang.
Dua model dijangka akan dilancarkan pada acara tersebut, dengan satunya adalah versi Pro yang dikuasakan cip pemproses Snapdragon 865+. Peranti ini juga dikatakan bakal hadir dengan paparan 6.7 inci, kapasiti bateri 5000mAh serta sokongan pengecasan pantas 30W.
Berdasarkan laporan, kedua-dua peranti ini akan dimuatkan dengan kamera flip seperti siri sebelumnya. Melalui imej thumbnail yang disertakan pada penstriman langsung tersebut, kemungkinan ia dilengkapi dengan tetapan 4 kamera.
Terdahulu, Zenfone 7 muncul dalam penyenaraian Geekbench dengan cip pemproses Snapdragon 865 dan RAM 16GB.
Menjelang pelancaran yang akan berlangsung pada 26 Ogos ini, dijangka lebih banyak maklumat mengenainya akan didedahkan.
Sumber: GSMArena