Sedar tidak sedar, kita telah berada di penghujung tahun 2023 dan tinggal sebulan lebih sahaja lagi untuk masuk ke tahun 2024.
Pastinya majoriti masyarakat masa kini telah membuat perancangan untuk membeli dan menukar selera kepada peranti pintar yang baharu. Hal ini kerana, tahun hadapan merupakan tahun yang rancak dari segi pengeluaran telefon pintar yang baharu dengan spesifikasi yang lebih maju dan terbaik pada alaf ini.
Namun, ada juga sebahagian model telefon pintar yang mengitar semula spesifikasi yang telah lapuk dan boleh dikategorikan sebagai ketinggalan zaman.
Jadi dalam artikel kali ini, kami kongsikan tentang ciri-ciri yang perlu anda perhatikan ketika ingin membeli telefon pintar pada tahun 2024.
1. Prestasi
Untuk ciri ini, kami mengambil kira tiga aspek iaitu CPU, storan dan RAM. Bagi kelas andalan, anda tidak perlu resah kerana hasil kajian kami mendapati bahawa kelas ini akan menggunakan dua jenis CPU iaitu Snapdragon 8 Gen 3 atau Dimensity 9300. Contoh telefon pintar kelas andalan yang menggunakannya adalah siri Xiaomi 14 dan vivo X100.
Bagi kelas pertengahan pula, terdapat banyak jenis CPU yang telah tersedia dan anda perlu membuat perbandingan untuk memilih yang terbaik dalam kelasnya.
Untuk meneliti perbandingan yang lebih tepat, anda boleh pergi ke laman web NanoReview. Contohnya, Snapdragon 6 Gen 1 dengan Snapdragon 695 5G.
Walaupun cip ini sudah lama namun ia masih digunapakai oleh kebanyakkan telefon pintar kelas pertengahan yang keluar pada 2023. Mengapa? Kerana cip yang dinyatakan tersebut merupakan cip pemprosen termurah yang menyokong 5G walaupun jangka hayatnya telah lebih 2 tahun.
Dari segi RAM pula, untuk kelas andalan mereka akan menggunakan jenis LPDDR5X atau LPDDR5T yang lebih terkini dan berprestasi tinggi. Untuk kelas pertengahan pula, sekurang-kurangnya menggunakan LPDRR4X tetapi kebanyakkan jenama tidak menyatakan maklumat ini pada laman web.
Dari segi storan pula, pastikan jenis storan yang digunakan adalah UFS 4.0. Hal ini kerana, storan jenis tersebut merupakan yang paling laju, paling stabil dan mempunyai kuasa yang paling cekap.
Jika tidak dapat UFS 4.0, UFS 3.1 atau UFS 3.2 sudah memadai. Namun jika anda dapat UFS 4.0, ia lebih baik kerana UFS 4.0 dikatakan dua kali ganda lebih laju berbanding UFS 3.1 dan 3.2.
Bagi kelas pertengahan pula, sekurang-kurangnya UFS 2.2 dan jangan kurang daripada itu.
2. Skrin
Terdapat dua teknologi skrin yang digunakan dalam pasaran telefon pintar iaitu IPS LCD dan OLED. Pada dasarnya, sekiranya terdapat telefon sama ada kelas andalan atau pertengahan yang menggunakan skrin selain OLED, maka anda perlu membuangnya dari senarai yang ingin dibeli.
Untuk kelas andalan, anda tidak perlu risau kerana mereka memang akan menggunakan teknologi OLED pada skrin bagi peranti kelas tersebut. Misalnya, LTPO AMOLED yang terdapat pada siri Xiaomi 14 dan Dynamic AMOLED yang digunakan pada Samsung.
Kelebihan OLED adalah lebih jimat tenaga, berikan paparan yang lebih baik serta sokong HDR yang lebih berkualiti. Bagi telefon kelas pertengahan pula, terdapat beberapa masalah yang dihadapi pada bahagian skrin.
Sebagai contoh, IQOO Z7. Untuk prestasi memang cukup berkuasa sama ada dari sudut pengecasan pantas, kapasiti bateri yang besar, cip pemprosesan yang mantap serta kamera yang berkualiti.
Namun, apa yang “mencacatkan” peranti ini adalah ia menggunakan jenis skrin IPS. Akan tetapi kita faham, mungkin ada jenama berbuat demikian kerana ingin mengurangkan kos agar dapat dijual pada harga yang mampu milik.
Kesimpulannya, untuk skrin pastikan telefon tersebut menggunakan skrin jenis OLED dengan kadar segar semula 120Hz untuk andalan dan sekurang-kurangnya 90Hz untuk pertengahan.
3. Kamera
Kamera juga menjadi ciri penting yang perlu anda perhatikan sebelum membeli telefon pintar. Kalau cip ibarat otak, maka kamera ibarat mata bagi telefon pintar.
Disebabkan terdapat banyak jenis sensor dan megapiksel dalam telefon pintar, maka kami akan berikan panduan kepada anda tentang ciri kamera yang perlu ada untuk anda membeli telefon tersebut.
Untuk kelas andalan, anda tidak perlu risau kerana sistem kamera dalam kelas ini memang terbukti terbaik.
Perkara pertama yang anda perlu perhatikan adalah cari yang menyokong megapiksel yang tinggi dan paling kurang 50MP. Pastikan juga peranti tersebut menyokong OIS.
Ciri ini signifikan dan sudah menjadi perkara wajib ada dalam setiap telefon. Selain itu, telefon tersebut juga menawarkan paling kurang 3 lensa utama. Tamsilnya, lebar, ultra-lebar dan telefoto.
Jika kurang daripada 3 lensa, ia kelihatan kurang baik. Bukan apa, sebabnya bila ada banyak jenis lensa, lebih banyak jenis gambar yang kita boleh tangkap.
Tambahan lagi, sekiranya terdapat telefon pintar yang berkolaborasi dengan jenama kamera terkenal ia sudah memberi kelebihan kepada kamera itu sendiri.
Contohnya untuk kelas pertengahan, Xiaomi 13T yang berkolaborasi dengan sistem kamera Leica.
4. Bateri
Pengguna perlu ambil cakna, untuk ketahanan bateri, ia bukanlah ditentukan oleh kapasiti bateri sahaja. Akan tetapi, jenis cip pemprosesan serta tahap kestabilan perisian OS turut diambil kira.
Namun, kapasiti bateri tetap menjadi faktor utama kerana mengikut logiknya, semakin besar kapasiti bateri maka semakin tinggi tahap ketahanannya.
Jadi untuk tahun 2024, pastikan telefon yang hendak dibeli mempunyai kapasiti bateri sekurang-kurangnya 5000mAh. Bawah daripadanya adalah kurang sesuai untuk tahun 2024.
Kebiasaan jenama yang suka menggunakan kapasiti bateri yang rendah adalah vivo dan OPPO. Sebagai contoh, vivo V29 dan siri OPPO Reno 10.
Dari segi tahap kelajuan pengecasan pula, sekurangnya-kurangnya 45W. Jika bawah daripadanya, ia dianggap sangat perlahan dan anda perlu meluangkan masa yang agak lama untuk menunggu telefon tersebut cas penuh.
5. Sokongan Perisian
Pada pandangan kami, untuk telefon kelas pertengahan dalam tempoh dua ke tiga tahun sudah memadai bagi sokongan kemas kini Android OS. Anda pasti akan berasa ragu-ragu, mengapa terlalu sekejap? Akan tetapi tempoh tersebut memang berbaloi untuk peranti kelas pertengahan.
Anda perlu ingat, peranti kelas pertengahan dari segi penggunaannya takkan mampu menyokong selama kelas andalan.
Hal ini kerana, jika peranti kelas pertengahan melebihi waktu yang boleh disokong, berkemungkinan besar perkakasan telefon tersebut takkan mampu menyokong kemas kini sokongan perisian Android pada tahun tersebut.
Akibatnya telefon anda akan lag dan menjadi slow. Berbeza untuk kelas andalan, ia mampu memberi jaminan kemas kini perisian sehingga 4 tahun kerana perkakasannya memang berkuasa dan berkemampuan serta yang paling penting adalah sekuriti kemas kini tampalan.
Hal ini kerana, sistem ini lah yang akan menjadi benteng supaya peranti anda akan lebih terjamin dan selamat digunakan. Misalnya iPhone, untuk sebahagian model walaupun model tersebut sudah tidak mampu menyokong iOS yang terkini. Namun, Apple masih memberikan kemas kini sekuriti.
{suggest}