Bagi anda yang masih dibelenggu dengan soalan dan pilihan yang belum mempunyai jawapannya untuk peranti telefon pintar gaming paling bagus dari sudut prestasi, di sini kami ada penyelesaiannya.
Seperti yang anda telah cakna, ROG Phone 8 Pro Edition dan REDMAGIC 9 Pro adalah dua telefon pintar terbaru pada tahun 2024 ini yang direka khas untuk kegunaan permainan mudah alih secara berpanjangan dengan prestasi yang tidak mengecewakan.
Walaupun perbezaan ketaranya terletak pada harga, namun perkara utama yang ingin diperlihatkan adalah prestasi telefon itu sendiri sama ada ia mampu untuk berfungsi tanpa sebarang isu ataupun tidak.
Oleh yang demikian, perbandingan dari sudut penggunaan dan prestasi antara REDMAGIC 9 Pro dan ROG Phone 8 Pro Edition ini dilakukan untuk memberikan gambaran dalam bacaan tentang potensi sebenar kedua-dua telefon ini.
Spesifikasi REDMAGIC 9 Pro
Cip: Snapdragon 8 Gen 3
Memori: 16GB RAM LPDDR5X
Storan: 512GB UFS4.0
Sistem Operasi: Android 14, Redmagic OS 9.0
Skrin: AMOLED FHD+, 2480 x 1116, 6.8 inci, 120Hz
Bateri: 6500mAh, pengecasan pantas 80W
Spesifikasi ROG Phone 8 Pro
Cip: Snapdragon 8 Gen 3
Memori: 24GB RAM LPDDR5X
Storan: 1TB UFS4.0
Sistem Operasi: Android 14, ROG UI
Skrin: SAMSUNG AMOLED FHD+, 2400 x 1080, 6.78 inci, 120Hz
Bateri: 5,500mAh, Quick Charge 5.0, 65W berwayar, 15W wayarles
{suggest}
Daripada spesifikasi yang ditawarkan oleh kedua-dua peranti ini, kita dapat lihat REDMAGIC 9 Pro mempunyai jenis komponen perkakasan yang sama dengan ROG Phone 8 Pro dari sudut cip pemprosesan, memori dan storan.
Berdasarkan penanda aras yang diukur melalui aplikasi 3DMark dan Geekbench 6, skor yang diberikan untuk kedua-dua peranti ini mempunyai sedikit perbezaan tetapi tidak terlalu ketara.
Hal ini terbukti apabila REDMAGIC 9 Pro yang kami gunakan lebih 2 minggu dan pengalaman gaming yang ditawarkannya sangat baik dengan animasi grafik yang tiada sekatan, kadar bingkai per saat (FPS) yang stabil serta kurang mengalami masalah ketika sesi permainan berlangsung.
Permainan yang dimaksudkan tidaklah terhad sama sekali kepada permainan mudah alih bergrafik rendah seperti Mobile Legends malah ia mampu memainkan permainan bergrafik tinggi seperti Genshin Impact, Call of Duty: Warzone dan Black Desert pada tetapan grafik yang paling tinggi tanpa hiraukan masalah yang akan mendatang.
Dalam pada itu, REDMAGIC 9 Pro ini juga dilengkapi dengan sistem perisian yang seakan-akan X Mode daripada ROG Phone 8 iaitu Game Space.
Antara ciri mod yang ditawarkan dalam Game Space ini adalah mod Eco, Balance dan Rise.
Dalam pada itu, Game Space ini juga mempunyai ciri mod prestasi tertinggi yang dikenali sebagai Diablo Mode.
Untuk pengetahuan anda, penguasaan yang ditawarkan oleh mod ini adalah satu peningkatan yang tidak ada dalam ROG Phone 8 kerana Diablo Mode ini mampu untuk meningkatkan sistem pemprosesan cip Snapdragon 8 Gen 3 sehingga mencapai kadar kelajuan pemprosesan 3.30 GHz.
Walau bagaimanapun, kadar haba untuk telefon REDMAGIC 9 Pro ketika menggunakan Diablo Mode ini juga akan meningkat.
Sehubungan dengan peningkatan haba itu, telefon ini telah dilengkapi dengan sistem penyejukan ICE 13.0 yang juga telah menjadi salah satu ciri identiti bagi peranti REDMAGIC terdahulu dan kini kelajuan kipasnya telah dipertingkatkan daripada 20,000 RPM ke 22,000 RPM.
Keberkesanan kipas ICE 13.0 ini juga boleh diperhati dan dirasai melalui haba yang dikeluarkan melalui saluran habanya apabila bermain permainan pada tetapan mod yang tertentu.
Tambahan lagi, kipas terbina pada REDMAGIC 9 Pro ini juga mempunyai lampu RGB yang boleh diubah warnanya melalui tetapan dalam telefon seperti yang di bawah.
Antara perbezaan yang ketara bagi kedua-dua peranti gaming ini adalah kapasiti bateri mereka yang dimenangi oleh REDMAGIC 9 Pro dengan kapasiti bateri sebanyak 6,500mAh serta sokongan pengecasan pantas 80W.
Manakala, kapasiti bateri bagi ROG Phone 8 Pro Edition adalah 5,500mAh dengan sokongan pengecasan 65W.
Namun begitu, ROG Phone 8 Pro juga telah berjaya mengalahkan REDMAGIC 9 Pro dari segi aspek lain seperti reka bentuknya yang dapat kami simpulkan adalah satu penampilan yang lebih matang dan profesional dengan warna hitam secara keseluruhan.
Tidak lupa juga, ia dilengkapi dengan lampu AniMe Vision Mini-LED di bahagian belakangnya yang boleh dimatikan jika anda merasakannya sebagai satu gangguan atau ciri yang agak keterlaluan.
REDMAGIC 9 Pro juga tidak terkecuali kelebihannya dari sudut reka bentuk kerana ia mempunyai paparan skrin yang lebih besar tanpa paparan berlubang yang menempatkan kamera untuk pengalaman menonton yang memuaskan seperti kaca televisyen.
Walaupun bagaimanapun, reka bentuknya yang menyerupai sebuah kotak itu membuatkannya terasa kurang selesa kerana sudutnya yang tajam dan tidak sesuai untuk dijadikan sebagai platform bermain permainan dalam jangka masa yang lama.
Kesimpulan
Bagi anda yang memilih untuk membeli REDMAGIC 9 Pro, anda akan dapat merasakan pengalaman prestasi gaming yang memberansangkan dengan kawalan suhu yang cekap, serta reka bentuk yang estetik, skrin dan kapasiti bateri yang lebih besar.
Berbeza pula untuk anda yang memilih ROG Phone 8 Pro Edition. Walaupun prestasi permainannya adalah sama hebat dengan rekaan yang lebih menarik, tetapi kekurangannya dikesan dari sudut kapasiti bateri yang lebih kecil.
Untuk pencerahan yang lebih mendalam tentang perbandingan REDMAGIC 9 Pro dan ROG Phone 8 Pro ini, anda boleh tonton video perbandingan kami di YouTube Wiser.My.
Beli ROG Phone 8 Pro di Shopee – https://invl.io/clkpvl9
Beli Nubia REDMAGIC 9 Pro di Shopee – https://invl.io/clkpvl2