Peralihan akan dibuat secara 3 peringkat mengikut wilayah.
Rakyat Malaysia tidak lama lagi akan mula menikmati siaran tv digital sepenuhnya pada 31 Oktober tahun ini. Peralihan sepenuhnya kepada siaran TV Digital myFreeview daripada siaran TV percuma yang menggunakan teknologi analog akan menjadi penanda era baharu industri penyiaran negara.
Kejayaan ini dicapai berikutan hasil kejayaan ujian rintis yang telah dijalankan bermula di Pulau Langkawi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama pihak industri penyiaran sejak 21 Julai lalu.
Ia juga adalah antara usaha kerajaan untuk merapatkan jurang digital merangkumi penduduk di kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar di seluruh negara, sejajar dengan wawasan kerajaan yang mahukan rakyat menikmati perkhidmatan tv digital secara percuma yang berkualiti.
Berikut adalah tarikh-tarikh peralihan siaran TV Analog ke TV Digital myFreeview mengikut wilayah:-
WILAYAH | TARIKH PERALIHAN |
Tengah dan Selatan | 30 September 2019 |
Utara dan Timur | 14 Oktober 2019 |
Sabah dan Sarawak | 31 Oktober 2019 |
Jadi dengan adanya siaran TV Digital myFreeview, ia turut memberi pilihan kepada rakyat untuk menonton pelbagai saluran tv, radio dan aplikasi baharu seperti membeli-belah dalam talian, informasi semasa, pendidikan interaktif dan rancangan-rancangan yang lain.
Bagi mereka yang masih belum beralih kepada platform siaran TV Digital myFreeview, anda digalakkan untuk berbuat demikian dengan mengikuti langkah-langkah yang berikut:
- Dapatkan dekoder dan aerial Ultra High Frequency (UHF) dan memasang kepada set TV yang sedia ada; atau
- Dapatkan Integrated Digital TV (IDTV) yang telah dilengkapi dengan dekoder dan memasang kepada aerial UHF.