Pada jam 4 petang, 12 Disember 2023, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengadakan sidang media tentang peningkatan kes Covid-19. Tujuan sidang media ini diadakan untuk mengatasi kegusaran rakyat Malaysia terhadap peningkatan kes.
Pihak KKM turut memaklumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan tidak akan diadakan seperti yang dirisaukan oleh masyarakat walaupun kes sudah melebihi 20,000.
Oleh yang demikian, pihak KKM telah mencetuskan strategi untuk berhadapan dengan peningkatan kes. Ini dia 5 inisiatif KKM dalam berhadapan peningkatan kes Covid-19:
- Pengesanan awal situasi Covid-19 melalui Sistem Amaran Awal atau Heightened Alert System (HAS)
- Pemerkasaan komuniti melalui amalan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform dan Seek)
- Pengurusan dan kawalan kes Covid-19
- Pemerkasaan komuniti melalui komunikasi risiko yang berkesan
- Pendigitalan sistem penjagaan kesihatan
Pihak KKM turut menyatakan bahawa peningkatan kes Covid-19 masih dalam keadaan terkawal. Namun, masyarakat disarankan untuk tidak mengambil enteng dan sentiasa menitikberatkan pengawalan kendiri seperti penggunaan pelitup muka di kawasan sesak.
Selain itu, pihak KKM turut menyarankan untuk memuat turun semula aplikasi MySejahtera untuk mengetahui status kesihatan serta temu janji suntikan vaksin. Dos penggalak turut disarankan untuk mereka yang berisiko.
Untuk mengetahui lebih lanjut, boleh layari portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia.