Penerbit beberapa manga dari Jepun termasuklah Shueisha, Shogakukan dan Kadokawa yang menerbitkan manga siri popular seperti One Piece dan Overlord secara bersama telah memfailkan saman terhadap laman manga cetak rompak Mangamura.
Nilai keseluruhan tuntutan dalam saman itu adalah berjumlah 1.9 bilion Yen (~RM63,289,000.00) meliputi sebanyak 17 siri manga yang telah dicetak rompak oleh laman tersebut.
Judul-judul manga itu termasuklah Dorohedoro, Erased, Golden Rough, Hinamatsuri, Kanji wa Use o Ai Shisugiteru, Karakul Circus, Kengan Ashura, Kingdom, Mushoku Tensei, One Piece, Overlord, The Rising of the Shield Hero, Sgt. Frog, Tasogare Ryūseigun, Trinity Seven, Wise Man’s Grandchild and YAWARA!.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Shueisha, mereka menegaskan bahawa jika penat lelah hasil kerja pengkarya diberikan secara percuma, ia merosakkan asas kerja dalam menghasilkan karya yang menarik.
Ini bukanlah kali pertama Mangamura berdepan kes sebegini akibat kegiatan mencetak rompak manga. Sebelum ini pengendali laman tersebut bernama Romi Hoshino telah pun didapati bersalah atas kesalah pelanggaran hak cipta.
Malah Hoshino telah dijatuhkan hukuman penjara selama 3 tahun dan dikehendaki membayar denda berjumlah 72 juta yen (~RM2,400,480.00).
Sumber: otakuusamagazine