Kerja-kerja pemasangan peranti Starlink di Kampung Langsat dapat memberi faedah kepada 500 penduduk kampung. Akses internet berkelajuan tinggi melebihi 200mbps akan diberikan kepada penduduk.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata pemasangan peranti melalui projek Proof of Concept (POC) merupakan jalan penyelesaian sementara bagi memberikan keperluan akses internet kepada penduduk di kawasan tersebut.
Pembinaan menara telekomunikasi menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) juga sedang dijalankan yang akan menggantikan peranti Starlink tersebut.
Peranti Starlink di Kampung Langsat telah dipasang pada 7 September lepas dan merupakan pemasangan kedua di Sabah selepas Keningau yang dipasang pada 5 September lepas.
Fahmi Fadzil berkata lagi, pemasangan Starlink di kampung ini berbeza sikit dengan tempat lain yang dipasang di atas bumbung. Starlink di sini di pasang pada bahagian bangunan bagi memastikan kekukuhan peranti tersebut terjamin.
Beliau turut mengulas tentang menara telekomunikasi yang sedang dibina di kampung tersebut. Beliau menerangkan bahawa pembinaan menara tersebut lewat daripada apa yang dirancang.
Pihaknya juga sedang berusaha untuk memastikan menara tersebut siap dalam masa terdekat. Hal ini kerana, beliau mahu keperluan rakyat di kawasan tersebut terjamin.
Beliau juga akan bertemu dengan ketua menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bagi membincangkan tentang cara dan usaha untuk memenuhi keperluan telekomunikasi di Sabah.
Selain itu, Ketua Kampung Langsat, Paimin Abdullah turut berkata kemudahan internet berkelajuan tinggi akan memberikan banyak faedah kepada penduduk khususnya buat generasi muda yang ingin menimba ilmu dan menyiapkan tugasan sekolah.
Beliau turut bersyukur kawasan kampungnya sudah mempunyai kemudahan internet yang memudahkan mereka untuk berhubung dengan keluarga yang berada di luar kawasan. Dia berharap supaya kemudahan tersebut akan diluaskan lagi pada masa akan datang.
{suggest}
Sumber: Astro Awani