Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman mencatatkan 19,224 kes jenayah dalam talian dari Januari hingga September tahun ini.
Angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 23 peratus berbanding dengan jumlah kes sebanyak 15,659 yang tercatat pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Menurut CyberSecurity Malaysia, Pusat Tindakbalas Insiden Siber Cyber999 mencatatkan 4,898 kejadian keselamatan siber antara Januari dan Oktober tahun ini. Penipuan dalam talian (fraud) kekal menjadi insiden yang paling banyak berjumlah sebanyak 3,087 kejadian.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, menyatakan bahawa nilai kerugian kes jenayah dari Januari hingga September tahun ini meningkat kepada RM687 juta atau 29 peratus lebih tinggi berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2022.
Beliau menegaskan bahawa penting bagi semua pihak untuk memberikan perhatian serius kepada insiden penipuan dalam talian dan ancaman scam kerana ia telah menyebabkan negara mengalami kerugian dalam jutaan ringgit serta menimbulkan tekanan emosi yang besar.
Statistik menunjukkan mangsa scam melibatkan pelbagai golongan masyarakat di Malaysia termasuk individu dari latar belakang profesional seperti pensyarah, guru, jurutera, doktor, ahli perniagaan, dan juga golongan pesara serta warga emas.
Hingga 31 Oktober tahun ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah menghapuskan 4,013 akaun dan kandungan. Pada tempoh yang sama, MCMC juga telah menghalang akses kepada 1,764 laman web palsu yang digunakan untuk aktiviti penipuan pemancingan maklumat (Phishing).
Teo turut menyatakan bahawa MCMC telah menghadkan akses kepada 410,590,277 SMS yang tidak diminta (unsolicited SMS) sepanjang Januari hingga September tahun ini dan sebanyak 19 juta SMS yang mengandungi pautan (Hyperlink) telah disekat mulai dari 2 Mei hingga September 2023.
Beliau menambah lagi, sebanyak 79,322 talian termasuk talian mudah alih dan tetap yang menghantar SMS yang mencurigakan telah dihentikan perkhidmatannya dari Januari hingga September 2023.
Selain itu, MCMC telah menghalang 553,173,467 panggilan yang mencurigakan dari Januari hingga September tahun ini.
{suggest}
Sumber: Astro Awani