Sering kali kita mendengar, bahawa penggunaan telefon pintar akan menyebabkan seseorang menjadi malas berfikir. Ini kerana, mereka lebih cenderung untuk menggunakan telefon pintar sebagai cara bagi mengelakkan berfikir perkara yang tidak penting.
Namun, satu kajian terbaru yang dipetik oleh Medical Daily, menyatakan penggunaan peranti digital seperti telefon pintar boleh membantu meningkatkan daya ingatan.
Melalui peranti digital, ia membantu seseorang untuk menyimpan dan mengingati maklumat penting. Secara tidak langsung, ini juga membolehkan mereka mengosongkan daya ingatan bagi mengingati perkara yang kurang penting.
Perkara ini sekaligus bercanggah dengan apa yang dikatakan pakar neurosains sebelum ini mengenai penggunaan teknologi yang berlebihan akan mengakibatkan kemerosotan kebolehan kognitif, yang membawa kepada apa yang dipanggil sebagai “demensia digital”. Dalam erti kata lain, ia boleh mengganggu fungsi otak secara progresif serta mengakibatkan kehilangan memori, perubahan tabiat dan sebagainya.
Untuk menunjukkan penemuan terbaru ini, para penyelidik membangunkan ujian daya ingatan untuk dimainkan pada komputer atau tablet digital. Kira-kira 158 sukarelawan berumur antara 18 dan 71 tahun mengambil ujian itu.
Dibahagikan kepada dua, separuh daripadanya diminta untuk mengingati dalam ingatan sahaja. Manakala, separuh lagi dibenarkan untuk membuat peringatan pada peranti digital.
Daripada ujian berkenaan, ia menunjukkan bahawa penggunaan peranti digital sebagai ‘alat’ untuk mengingati sesuatu perkara adalah berhasil. Jauh daripada menyebabkan “demensia digital”, malah ia membolehkan peningkatan daya ingatan terutama untuk menyimpan maklumat yang mungkin tidak pernah disimpan sebelumnya.
Menurut Dr. Sam Gilbert dari Institut Neurosains Kognitif UCL, menggunakan peranti digital boleh mengubah cara orang menggunakan ingatan mereka untuk menyimpan maklumat berkepentingan tinggi berbanding berkepentingan rendah.
Sumber: Medical Daily