Jepun dilaporkan sedang merancang untuk membina sebuah loji jana kuasa nuklear generasi baharu dengan kemampuan beroperasi sehingga 60 tahun.
Pembinaan loji itu telah menarik minat beberapa pemain utama industri di Jepun seperti Mitsubishi Heavy Industries (MHI) dan Hitachi.
Menurut Ketua Bahagian Nuklear di MHI bernama Akihiko Kato, rekaan asas loji nuklear itu sudah 80% lengkap.
Loji 1,200-MW yang dirancang oleh MHI sebahagiannya dirancang akan dibina di bawah tanah untuk meminimumkan kerosakan akibat gempa bumi, nahas kapal terbang atau bencana lain.
Tetapi pada masa yang sama, loji yang akan dibina itu juga cukup tinggi untuk mengelakkan kerosakan akibat tsunami. Malah dinding luar bangunan akan dua kali lebih tebal daripada sebelumnya dan rangkaian komunikasi akan direka bentuk untuk mencegah serangan siber.

Kesan daripada insiden loji jana kuasa nuklear Fukushima yang dibadai tsunami dan gempa bumi pada 2011 dahulu, Jepun mengetatkan ciri keselamatan loji nuklear baharu mereka.

Kedua-dua syarikat itu dikhabarkan sedang bersaing untuk membangunkan apa yang mereka panggil teknologi reaktor air ringan yang inovatif — loji dengan ciri keselamatan yang dipertingkatkan berdasarkan reaktor air ringan yang besar sedia ada.
Ciri utama reaktor air ringan ini ialah apa yang disebut Hitachi sebagai sistem penyejukan reaktor pasif, yang boleh berfungsi tanpa kuasa luaran sekiranya berlaku bencana.
Sistem ini menggunakan proses semula jadi untuk menyejukkan dan menghapuskan bahan toksik.
Contohnya, jika keruntuhan teras berlaku dan bahan api nuklear bocor melalui reaktor, penangkap teras akan dipasang di bawah reaktor supaya bahan api tidak bocor ke luar bangunan.
Walaupun gas radioaktif dalam reaktor perlu dilepaskan sebagai langkah terakhir untuk mengelakkan kerosakan reaktor, penapis ekzos direka untuk memecahkan bahan toksik kepada komponen yang lebih selamat.
Apa yang boleh disimpulkan adalah, pembangunan loji jana kuasa nuklear Jepun dengan teknologi baharu ini mengambil iktibar daripada insiden loji nuklear Fukushima.
{suggest}
Sumber: Nikkei Asia