Satu eksperimen yang dijalankan oleh Cybernews telah dilakukan untuk melihat platform mana yang lebih selamat, iOS atau Android.
Cybernews yang menulis tentang isu keselamatan siber telah memasang sejumlah 100 aplikasi teratas daripada AppStore Jerman dan Play Store pada iPhone SE dan telefon Android dengan masing-masing telah dibuat tetapan semula kilang (factory reset).
Ujian yang dilakukan oleh Ernestas Naprys dari Cybernews itu kemudian membiarkan telefon itu melalu sementara dia menyemak untuk melihat kekerapan mereka menghubungi pelayan asing dan di mana pelayan tersebut berada.
Dalam tempoh lima hari iPhone dibiarkan bersendirian, Naprys berkata bahawa dia “menjejaki setiap sambungan keluar yang dibuat iPhone ke pelayan luaran.”
Hasilnya dia mendapati, iPhone dari Apple menghantar secara purata 3,308 pertanyaan setiap hari berbanding 2,323 pertanyaan harian yang dihantar secara purata untuk telefon pintar Android selama tiga hari ia dibiarkan.
Ternyata 60% daripada permintaan keluar yang dibuat oleh iPhone telah dihantar kepada Apple sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standardnya.
Sementara untuk telefon Android pula, permintaan yang dibuat oleh telefon Android yang dihantar kepada Google pula sebanyak 24% sahaja dengan selebihnya dihantar ke aplikasi pihak ketiga.
Sebagai contoh, semasa iPhone menghubungi pelayan Rusia milik syarikat teknologi China Alibaba secara purata sekali sehari, peranti Android pula melakukan ping ke pelayan di Rusia sebanyak 13 kali lebih kerap sehingga 39 pertanyaan dalam tempoh tiga hari.
Malah iPhone juga tidak melakukan ping pada satu pun pelayan di China, telefon Android secara purata pula menghubungi pelayan Cina sebanyak 5 kali sehari.
Hasil penyelidikan yang dibuat Ernestas Naprys itu juga mendapati, iPhone menghubungi pelayan media sosial jauh lebih jarang berbanding telefon Android.
iPhone didapati hanya menghubungi pelayan Facebook sebanyak 20 kali sehari sahaja secara purata berbanding 200 kali sehari secara purata untuk peranti Android.
iPhone juga menghubungi TikTok hanya 36 kali secara keseluruhan sementara telefon Android menghubungi TikTok hampir 800 kali.
Ernestas Naprys mempunyai teori tentang perbezaan besar antara aplikasi iOS dan Android yang menghubungi pelayan asing.
“Tiada satu aplikasi di Apple App Store boleh dianggap sebagai perisian iklan yang terang-terangan. Semua aplikasi di App Store mewakili platform besar di belakangnya dan lebih berguna berbanding aplikasi-aplikasi mengandungi iklan yang meragukan di Google Play. ”
Beliau menambah “Ini mungkin juga disebabkan oleh dasar Apple yang lebih ketat untuk pembangun dalam ekosistem tertutupnya mengenai privasi secara umum.”
Kesimpulannya, daripada eksperimen tersebut menunjukkan bahawa iPhone menghubungi lebih sedikit pelayan di lokasi yang boleh dipertikaikan berbanding telefon Android.
Pasukan penyelidik Cybernews berkata, “Jika data anda sampai ke pelayan di Rusia, terdapat risiko ia boleh diakses oleh pihak berkuasa atau bahkan organisasi komersial yang tidak terikat dengan GDPR (General Data Protection Regulation) dan undang-undang perlindungan data dan privasi yang serupa.”
{suggest}
Sumber: Cybernews 1, 2, Phone Arena