Pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM memaklumkan terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat berkaitan penipuan ‘sim swap’ menggunakan nama JSJK PDRM.
Kononnya, modus operandinya adalah mangsa akan mendapat mesej daripada aplikasi WhatsApp atau Facebook. Mesej tersebut akan memberitahu yang mangsa akan mendapat panggilan.
Menerusi panggilan tersebut, mangsa akan diminta untuk menekan butang ‘1’.
Apabila mangsa menekan sahaja butang tersebut, telefon mangsa dengan mudahnya dapat digodam dan diambil alih oleh penggodam. Selanjutnya, penjenayah tersebut akan memindahkan semua duit dari akaun mangsa ke akaun lain.
Pihak JSJK PDRM dengan tegas menafikan tentang informasi modus operandi tersebut. Sebaliknya terdapat pihak yang berselindung di sebalik nama jabatan mereka menyebarkan maklumat palsu tersebut.
Hal ini kerana, tiada sebarang laporan yang direkodkan berkaitan penipuan tersebut.
Sebagai langkah berwaspada, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menekan mana-mana pautan yang mencurigakan serta tidak mengendahkan sebarang instruksi daripada pihak yang tidak dikenali.
Sebarang nasihat serta pesanan awam akan disampaikan oleh JSJK PDRM menerusi saluran media cetak dan elektronik rasmi seperti berita televisyen dan akhbar. Selain itu, hebahan juga akan dibuat secara atas talian melalui portal rasmi PDRM dan JSJK.
{suggest}
Sumber: Facebook PDRM