Biasanya, apabila bercakap soal sandaran iPhone atau sandaran iOS, Apple biasanya akan mengesyorkan anda menggunakan iCloud. Tapi bayangkanlah, kapasiti iPhone besar mana, iCloud pula boleh tahan mahalnya. Lagi pula casnya berbentuk bulanan. Kadang-kadang terfikir pula adakah berbaloi untuk membuat sandaran iOS di iCloud.
Antara alternatif lain yang boleh digunakan bagi menggantikan iCloud adalah membuat sandaran menerusi aplikasi Finder di Mac yang mana sandaran yang terhasil akan disimpan di dalam storan Mac.
Metod ini tiada masalah tapi ia mempunyai satu kekurangan yang paling besar iaitu ketiadaan opsyen untuk menukar lokasi sandaran. Secara lalainya, sandaran akan disimpan di ~/Library/Application Support/MobileSync/Backup/. Untuk menukar lokasi ini sangatlah sukar kerana ia akan melibatkan penggunaan terminal. Jadi, bagaimana jika kita ingin menyimpan sandaran di tempat lain? Contohnya di NAS (Network Attached Storage) atau di storan luaran?
Jawapannya adalah iMazing, aplikasi yang sudah matang, dan sudah sebati dalam komuniti iOS. Sebelum kita mula, perlu diberitahu siap-siap bahawa iMazing adalah aplikasi MacOS, jadi anda perlu mempunyai sistem pengoperasian MacOS untuk menggunakannya.
Selain dari fungsi sandaran, iMazing juga dipasarkan sebagai ‘satu aplikasi untuk mengawal peranti iOS anda’. Disini, saya akan tampilkan beberapa ciri yang saya rasakan perlu diketengahkan.
Quick Transfer
Kebolehan untuk menghantar dokumen ke iPhone anda dengan lebih pantas.
Manage Apps
Membolehkan anda membuang aplikasi-aplikasi yang tidak diingini. Yang penting, boleh pilih beberapa aplikasi sekaligus!
Show Device Console
Boleh melihat secara terus apa yang dikeluarkan di konsol iOS. Ia sangat memudahkan untuk pengaturcara atau pembaik pulih melihat apa yang sedang berlaku dalam iPhone.
Detect Spyware
Aplikasi iMazing ini juga didatangkan dengan Spyware scanner yang boleh mengesan sekiranya terdapat spyware di dalam telefon anda. Bagi saya, ia tidaklah berfungsi dengan 100% ketepatan tetapi ianya satu ciri yang bagus untuk ada.
Kawal Aplikasi Terpilih
Selain dari yang di atas, dan beberapa ciri lain lagi, iMazing juga datang dengan ciri yang membenarkan pengguna mengawal beberapa aplikasi secara terus dari aplikasinya.
Yang paling penting, ciri sandaran
Ciri utama aplikasi iMazing adalah sandaran. Jadi kenapa tidak guna sahaja aplikasi Finder yang didatangkan oleh Apple sendiri. Kerana ianya sangat terhad. Dengan iMazing, kita boleh tetapkan dimana kita mahu meletakkan fail backup serta boleh menguruskan banyak peranti iOS sekaligus. Selain itu, kita juga boleh tetapkan bila operasi sandaran akan dimulakan. Seperti saya, tetapan untuk operasi sandaran adalah bila iPhone saya tersambung dengan pengecas pada pukul 1 pagi.
Tapi malangnya…
Tidak seperti Time Machine, sandaran iOS tidak boleh dilakukan secara automatik. Ini disebabkan oleh kemaskini terbaru oleh Apple baru-baru ini yang mana akan meminta PIN dari pengguna apabila mahu melakukan operasi sandaran. Hanya ini sahaja kelemahan pada iMazing (kelemahan yang ditambah oleh Apple kerana ada isu sekuriti). Menurut iMazing mereka tidak mampu berbuat apa-apa mengenai hal tersebut memandangkan mereka menggunakan proses yang sama dengan Apple bagi tujuan sandaran.
Beli iMazing
iMazing dijual dengan harga bermula $39.99 untuk satu peranti dan hanya perlu dibayar sekali sahaja. Jika berminat dengan aplikasi ini, boleh ke: Laman Web iMazing