Hari ini bertempat di China, HONOR telah melancarkan sebuah peranti baharu dengan saiz yang besar iaitu HONOR X10 Max. Ia merupakan peranti 5G dengan penggunaan cip MediaTek Dimensity 800.
Peranti ini mempunyai saiz skrin berukuran 7.09 inci yang mana agak besar untuk norma peranti pintar sekarang. Resolusinya adalah Full HD+ dengan panel IPS LCD dan menyokong HDR10. Skrin ini juga memuatkan takuk kecil untuk lensa swafoto 8MP.
Untuk prestasi, selain dijana cip Dimensity 800, ia hadir dengan RAM 6GB/8GB dan storan dalaman 64GB/128GB. Modul kamera belakang pula direka petak dan mempunyai 2 lensa 48MP utama dan 2MP untuk depth.
Dengan saiz yang besar, ia menawarkan kapasiti bateri 5,000mAh serta pengecasan pantas 22.5W. Untuk perisian, terdapat Magic UI 3.1 yang berasaskan Android 10.
Di China, HONOR X10 Max dijual dalam 3 pilihan warna – biru, perak, dan hitam. Untuk harga permulaan, ia dipasarkan bermula CNY 1,899 (~RM1,151).