Mi Band mula diperkenalkan pada dunia sejak 2014 dan hari ini ia sudah mempunyai 7 keturunan dengan pelancaran Mi Band 7.
Seperti biasa, saiz skrinnya akan ditingkatkan lagi dalam setiap generasi baharu. Kali ini, ia 25% lebih besar dengan AMOLED bersaiz 1.62 inci namun ketumpatan pikselnya masih sama iaitu 326 PPI.
Terdapat 120 mod sukan dan 4 pilihan analisis data baharu untuk mengukur training load, tempoh sembuh, ambilan oksigen maksimum dan kesan aerobik/anaerobic.
Bukan itu saja, ia juga mampu menjejak ambilan kalori dan menganalisis data seiring dengan statistik kadar jantung untuk mengetahui kecekapan kehilangan lemak.
Jika kadar oksigen dalam darah di bawah 90%, Mi Band 7 akan bergetar. Ciri ini disasarkan untuk pendaki gunung dan pelari jarak jauh selain sangat berguna di kala musim pandemik ini.
Bagaimanapun, ramalan yang mengagak ia akan hadir dengan GPS dan paparan kekal (Always-On-Display) salah kerana siri terbaru ini masih tidak menyokongnya.
Bateri padanya juga lebih besar berbanding Mi Band 6 memandangkan ia hadir dengan kapasiti 180mAh berbanding 125mAH.
Ia akan mula dijual di China bermula 31 Mei ini bermula pada 247 yuan (~RM162) untuk versi tanpa NFC.
Buat waktu ini Xiaomi belum memaklumkan bilakah ia akan dipasarkan untuk jualan global.
Baca juga: