Suruhanjaya Perlindungan Maklumat Peribadi (PIPC) Korea Selatan kini dilaporkan telah mendenda Google dan Meta dengan nilai 100 bilion won atau kira-kira lebih RM324 juta. Kedua-dua gergasi teknologi itu didakwa telah melanggar undang-undang privasi dengan menjejak tingkah laku pengguna dalam talian tanpa persetujuan dan menggunakan data tersebut untuk iklan yang disasarkan.
{suggest}
PIPC Korea Selatan berkata Google dan Meta masing-masing didenda dengan nilai 69.2 bilion won (~RM224 juta) dan 30.8 bilion won (~RM100 juta), selepas pegawainya bersetuju bahawa amalan perniagaan kedua-dua syarikat itu mungkin menyebabkan pelanggaran privasi yang serius.
Dikhabarkan, denda tersebut merupakan kali pertama dan terbesar pernah dikenakan oleh Korea Selatan bagi isu berkaitan pelanggaran undang-undang privasi.
Bagi pihak Google dan Meta, kedua-duanya telah menafikan dakwaan tersebut. Meta menyatakan pihaknya mematuhi undang-undang bagi memenuhi proses yang diperlukan oleh peraturan tempatan.
Dengan itu, Meta dijangka akan mempertimbangkan semua pilihan yang ada termasuk mencabar keputusan tersebut di mahkamah kelak.
Sumber: South China Morning Post