Komputer riba gaming keluaran Acer model Predator Helios 18 dan Predator Helios 16 yang dahulunya telah dilancarkan pada bulan April 2023 kini telah mendapat kemas kini terbaru dari segi cip pemprosesan dan kad grafik (GPU) untuk prestasi yang lebih memuaskan.
Acer Siri Predator Helios
Untuk kemas kini terbaru tahun 2024 bagi kedua-dua model Predator Helios 18 dan Helios 16, komputer riba ini dipertingkatkan dengan cip Intel Core i9 14900HX dan GPU NVIDIA GeForce RTX 4090.
Selain itu, sistem penyejukan yang digunakan bagi kedua-dua model ini adalah kipas AeroBlade Gen 5 dengan gabungan kaedah penyejukan daripada cecair gris terma logam dan saluran haba vektor.
Dari sudut perbezaan pula, ia dapat dilihat dari pilihan paparan yang disediakan iaitu skrin WQXGA ataupun MiniLED dengan saiz model yang tersendiri iaitu 18 inci dan 16 inci. Kadar segar semula bagi kedua-dua skrin adalah sama iaitu 250Hz.
Dalam pada itu, komputer riba ini juga menggunakan teknologi Magkey 3.0 yang khas dipasang pada butang WASD bagi penggunaan gaming yang tahan lama.
Model-model ini juga dilengkapi dengan ciri Acer PurifiedVoice 2.0 dan Acer PurifiedView yang dikuasakan teknologi kecerdasan buatan untuk perhubungan dalam talian tanpa gangguan.
Kedua-dua komputer riba ini juga lengkap dengan Wi-Fi 7, USB Jenis C dan slot mikroSD serta tampil dengan harga seperti di bawah.
- Acer Predator Helios 18 (PH18-72) = USD1,999.99 (~RM9,286.95)
- Acer Predator Helios 16 (PH16-72) = USD1,899.99 (~RM8,822.60)
Di samping itu, Acer telah mengumumkan ketibaan produk komputer riba model terbaru bagi siri Predator iaitu Predator Helios Neo 18 dan Predator Helios Neo 16.
Acer Siri Predator Helios Neo
Untuk kedua-dua model ini, ia direka bagi penggunaan gaming yang sederhana dengan harga yang lebih murah.
Acer Predator Helios Neo 18 dan 16 ini dikuasakan cip pemprosesan Intel Core i9 14900HX dengan sokongan GPU NVIDIA GeForce RTX 4070 dengan kuasa grafik 140W untuk mod Turbo.
Untuk konfigurasi, kedua-dua model ini hadir dengan 32GB RAM DDR5 5600Mhz dengan storan 2TB PCIe Gen 4.
Teknologi kipas yang digunakan pula adalah jenis kipas AeroBlade 3D Gen 5.
Dari sudut skrin pula, Helios Neo 18 dan Helios Neo 16 menggunakan paparan skrin IPS WQXGA (2560 x 1600) dengan kadar segar semula 240Hz dan kadar tindak balas 3ms.
Sama seperti model Predator Helios, kedua-dua model ini juga dilengkapi dengan sokongan teknologi kecerdasan buatan melalui Acer PurifiedVoice 2.0 dan Acer PurifiedView untuk sistem penstriman dan komunikasi.
Dengan kelengkapan yang sama seperti USB Jenis C, sambungan HDMI 2.1 dan slot kad mikroSD, model ini tersedia dengan harga seperti berikut.
- Acer Predator Helios Neo 18 (PHN18-71) = USD1,549.99 (~RM7,197.38)
- Acer Predator Helios Neo 16 (PHN16-72) = USD1,499.99 (~RM6,965.20)
{suggest}
Sumber: Siaran Media Acer