Alexa Amazon yang seiring dengan Google Assistant kini menggunakan kemajuan teknologi LLM dalam perkembangan teknologi kecerdasan buatan mereka.
LLM atau Model Bahasa Besar adalah model pembelajaran mendalam yang dilatih untuk menampung data yang besar.
Model ini boleh melakukan tugas yang berbeza seperti menjawab soalan, meringkaskan dokumen, menterjemah bahasa dan melengkapkan ayat. Selain itu, LLM juga boleh digunakan untuk kegunaan kecerdasan buatan dalam penghasilan kandungan berasaskan gesaan input dalam bahasa manusia.
Sehubungan dengan itu, Alexa kini telah diperbaharui dengan beberapa ciri baharu yang berpotensi untuk meningkatkan utiliti pembesar suara Amazon Echo yang dahulunya hanya berperanan untuk memainkan muzik dan menyediakan berita terkini.
Perbualan semula jadi
Pembaharuan Alexa kini membolehkan ia bertindak balas dengan keupayaan dan gerak hati untuk menjadikan perbualan antara kecerdasan buatan dan manusia lebih semula jadi dan santai.
Bukan sahaja terhad kepada topik fakta malah perbincangan masalah dan pilihan harian juga boleh dibualkan. Anda hanya perlu melihat pada paparan pintar Alexa dan mula bercakap jika anda telah menghidupkan ciri ID visual.
Kawalan rumah yang lebih pintar
Dengan Alexa yang kini menggunakan teknologi LLM, ia boleh menerima arahan suara yang lebih kompleks dalam mengurus peranti pintar di dalam rumah.
Sebagai contoh, arahan menutup lampu dan kipas secara serentak serta arahan “menutup semua tirai tingkap kecuali bilik anda” bukan lagi menjadi masalah malah anda boleh menetapkannya sebagai Rutin Alexa.
Terjemah panggilan dalam masa nyata
Apabila dua individu mempunyai pembesar suara Amazon Echo, mereka boleh membuat panggilan audio dan video secara percuma. Perbualan itu juga dapat diterjemah oleh Alexa dalam pelbagai bahasa seperti Inggeris, Sepanyol, Perancis, Jerman dan Portugis.
Ciri ini boleh diakses oleh pengguna yang menggunakan Echo Show dan aplikasi Amazon Alexa di peranti Android dan iOS.
Bantuan Kecemasan Alexa
Dengan hanya menyebut, ‘Alexa, panggil bantuan.‘ atau ‘Alexa, call for help.‘, membolehkan semua penghuni rumah meminta pertolongan dari pihak berkuasa melalui peranti Echo yang disokong oleh Alexa.
Ciri kecemasan seperti Respons Segera 24/7, Makluman Pintar dan Kenalan Kecemasan boleh dilanggan oleh pengguna di Amerika Syarikat sahaja dengan harga USD5.99 (~RM28.50) sebulan atau USD59 (~RM280.72) setahun.
Carian kecerdasan buatan peranti Fire TV
Amazon Fire TV adalah set peranti penstriman yang membolehkan pengguna menstrim sukan secara langsung, siaran berita, filem dan banyak lagi.
Kalau anda mempunyai Fire TV, anda boleh bertanya secara santai kepada Alexa tentang cadangan rancangan yang menepati minat anda. Selepas itu, Alexa akan memberikan senarai pilihan rancangan berdasarkan deskripsi yang telah diberikan oleh anda.
Alexa dengan pelbagai watak
Pembaharuan Alexa dilengkapi dengan 25 watak unik yang mempunyai ciri dan bidang kepakarannya yang tersendiri.
Sebagai contoh, pengguna boleh mendapatkan nasihat daripada perancang perjalanan Alexa untuk tips perjalanan dan tips kesihatan daripada jurulatih kesihatan Alexa.
Karang muzik baharu dengan ‘Splash’
Splash merupakan kemahiran Alexa yang terbaru di mana anda boleh menghasilkan muzik dengan arahan suara. Anda hanya perlu menerangkan jenis muzik yang anda mahukan serta kandungan lirik dan juga genre kepada Alexa.
Peta peranti pintar rumah
Anda perlu mengimbas pelan rantai rumah anda dengan menggunakan telefon pintar untuk menghasilkan peta digital serta meletakkan peranti pintar anda di kawasan tertentu.
Apabila selesai, anda akan menerima paparan peta digital untuk mengawal semua peranti dan aksesori Alexa di rumah anda.
Ciri ini boleh memudahkan Alexa untuk mendapat kawalan ke atas setiap peranti pintar di dalam rumah anda. Paparan peta akan tersedia untuk pengguna Amazon Echo Hub dan aplikasi Alexa pada peranti siri iPhone 12 dan telefon pintar yang terbaru.
Jadual diuruskan Alexa melalui e-mel
Pengguna Alexa kini boleh menghantar e-mel yang mengandungi jemputan dan media secara terus melalui pembantu suara. Alexa hanya perlu mengekstrak semua maklumat dan merekodkannya di kalendar pengguna.
Sambungan teratas
Sama seperti telefon pintar, Alexa membolehkan pengguna Amazon Echo Show untuk menyemat kenalan kegemaran untuk akses pantas. Cara ini memudahkan pengguna untuk membuat panggilan, drop-in dan semak tarikh hari lahir kenalan itu dengan lebih cepat.
Harap pengetahuan ini dapat membekalkan anda semua serba sedikit ilmu mengenai peranti Amazon Echo dan kecerdasan buatan Alexa.
{suggest}
Sumber: Augustman