Susulan daripada dakwaan insiden telefon pintar terbakar melibatkan keluaran mereka, YTL Communications hari ini memaklumkan bahawa mereka memandang serius terhadap dakwaan tersebut dan akan melakukan siasatan ke atasnya.

Dalam makluman mereka kepada wartawan MalaysiaKini, pihak YTL berkata mereka sedang meneruskan usaha menghubungi mangsa yang terjejas dengan insiden tersebut bagi menjalankan siasatan.

YTL menjelaskan bahawa, peranti yang didakwa terbakar secara tiba-tiba itu dibangunkan secara bersama antara YES dan China Mobile.

Bateri yang digunakan dalam peranti itu pula telah digunakan oleh lebih daripada 4.5 juta unit di seluruh dunia sejak tahun 2018 lagi.

Setakat ini mereka belum pernah menerima sebarang laporan tentang isu keselamatan melibatkan peranti pintar itu.

Pada awal pagi tadi kecoh diperkatakan oleh netizen apabila terdapat dakwaan dari seorang pengguna yang mendakwa telefon pintar dari jenama Yes terbakar secara tiba-tiba ketika sesi PdPR berlangsung Isnin lalu.

Insiden itu didakwa berlaku kepada seorang pelajar nerumur 9 tahun di Gombak dan didedahkan oleh ibu saudaranya di laman sosial Facebook.

YTL menegaskan bahawa keselamatan produk dan pengguna mereka adalah sangat penting dan akan menyiasat perkara itu dengan menyeluruh.

Sumber: MalaysiaKini

Baca juga: Sebuah Telefon Pintar Didakwa Terbakar Secara Tiba-Tiba Ketika Sesi PdPR