Youtube hari ini mengumumkan pencipta kandungan atau Youtuber yang berada di luar Amerika Syarikat (A.S) akan dikenakan potongan cukai sehingga 24%, di mana ia akan dikuatkuasakan seawal Jun 2021.

Ini kerana, undang-undang A.S memerlukan Google untuk mengumpul maklumat cukai dari semua Youtuber yang berada di luar negara itu dan seterusnya mengenakan potongan cukai bagi pendapatan yang dijana menerusi AdSense.

Bagaimanapun, potongan cukai tersebut hanya akan dikenakan berdasarkan pendapatan yang diperoleh menerusi iklan dari penonton di A.S sahaja. Ini bermakna, tiada potongan cukai yang akan dikenakan jika anda tidak mempunyai sebarang pendapatan dari penonton di sana.

Berikutan itu, Google juga telah meminta semua pencipta kandungan di Youtube untuk menyediakan maklumat cukai pendapatan dengan segera di AdSense. Sekiranya maklumat cukai tidak diberikan sehingga 31 Mei 2021, Google mungkin akan membuat potongan cukai sebanyak 24% daripada jumlah pendapatan yang diperoleh secara global.

Untuk melakukan kemas kini maklumat cukai, ianya boleh dilakukan dengan cara:

  1. Log masuk akaun AdSense.
  2. Tekan pada “Payments”
  3. “Manage settings”
  4. Tatal ke “Payment profile” dan klik edit di sebelah “United States tax info”. 
  5. Tekan “Manage tax information”. 
  6. Di halaman ini, terdapat panduan untuk memilih borang yang sesuai berdasarkan situasi cukai yang akan dikenakan.

Perlu diketahui, kadar pemotongan cukai yang tepat akan ditentukan berdasarkan maklumat cukai yang diberikan kepada Google. Kadar pemotongan ini boleh dilihat melalui “Manage tax info” di Adsense Payment setelah borang dihantar. Untuk lebih lanjut, layari Youtube Help.