YouTube yang telah melancarkan sebuah platform yang ingin menyaingi TikTok – YouTube Shorts pada September tahun lalu menerima jumlah tontonan harian sebanyak 3.5 bilion di India.

Walau bagaimanapun, YouTube tidak mendedahkan statistik penuh pengguna yang menggunakan YouTube Shorts ini tetapi mereka memberi tahu terdapat 2 bilion pengguna yang log masuk setiap bulan.

Ciri Shorts ini bukan sebuah aplikasi lain kerana ia secara terus menjadi sebahagian daripada aplikasi YouTube dan amat mirip dengan TikTok.

Tambahan lagi, mereka juga menambahkan ciri-ciri memuat naik muzik, mengubah kepantasan video dan banyak lagi akan tetapi ia masih terhad kepada 15 saat sahaja berbanding TikTok yang menyokong sehingga 1 minit.

Selain itu, YouTube mengatakan buat masa sekarang, Shorts hanya terhad di India sahaja bagi tujuan penambahbaikan dan akan ditawarkan di negara lain tidak lama lagi.

TikTok yang juga menjadi aplikasi paling popular tahun lepas kini mempunyai jumlah pengguna aktif sehingga 700 juta seluruh dunia walaupun aplikasi ini menerima pelbagai reaksi.

Instagram Reels

Malah, populariti TikTok secara tidak langsung membuatkan banyak media sosial lain yang ingin menirunya seperti mana Facebook yang mengumumkan Instagram Reels pada Ogos lalu dan Snapchat dengan Spotlight.

Sumber: YouTube via