YouTube pada 2016 telah menambahkan sokongan untuk video HDR (High Dynamic Range) di platformnya. Terbaru, YouTube kini mengumumkan sokongan HDR untuk penstriman langsung.

Ia menjadikan YouTube adalah platform pertama yang mempunyai sokongan HDR bagi penstriman langsung. Buat masa ini, antara format HDR yang disokong adalah HDR10 dan HLG.

Bagi anda yang belum tahu, HDR merupakan teknologi yang membolehkan video menunjukkan warna dan kecerahan yang lebih luas. Warna hitam boleh menjadi lebih pekat dan warna putih lebih terang.

Untuk membuat penstriman langsung dengan sokongan HDR, pengkarya perlu menggunakan  salah satu senarai pengekod yang disokong oleh Google.

Sementara itu, tontonan penstriman langsung dalam mod HDR adalah secara automatik bagi peranti yang mempunyai sokongan tersebut. Bagi peranti yang tiada sokongan HDR, penonton akan melihat penstriman langsung berkenaan dalam SDR (Standard Dynamic Range).

Antara yang mempunyai sokongan HDR termasuk aplikasi YouTube pada TV HDR, peranti Android dengan paparan HDR, PC Windows dan Mac dengan sokongan grafik dan paparan HDR dan lain-lain.

Penstriman langsung dalam mod HDR ini akan ditunjukkan pada menu tetapan kualiti video. Jika peranti tidak mempunyai sokongan HDR, penstriman hanya akan menunjukkan dalam mod SDR.

Sumber: Google via The Verge