Beberapa minggu lalu hangat diperkatakan netizen tentang laporan dakwaan insiden bateri telefon pintar meletup yang melibatkan peranti YES Altitude 3 dari YTL Communications.

Bertindak ke atas dakwaan tersebut, pihak YTL telah menyatakan bahawa mereka memandang serius terhadap dakwaan melibatkan telefon pintar keluaran mereka terbakar.

Mereka juga menegaskan bahawa keselamatan produk dan pengguna mereka adalah sangat penting dan akan menyiasat kejadian itu dengan menyeluruh.

Sehubungan itu, pihak YES mengeluarkan panduan khusus mengenai penggunaan telefon pintar dan bateri YES Altitude 3.

YES menyatakan, untuk melindungi dan memanjangkan penggunaan YES Altitude 3, pengguna peranti tersebut dinasihatkan supaya tidak menggunakan pengecas dari pihak ketiga, tetapi menggunakan pengecas asal dan kabel pengecasan yang dibekalkan bersama telefon pintar mereka.

Pengguna juga dinasihatkan tidak membiarkan telefon pintar tersebut dicas untuk jangka masa yang lama serta jangan menggunakan telefon pintar itu semasa ia di cas.

Pengguna YES Altitude 3 turut dinasihatkan untuk periksa bateri telefon bagi melihat sebarang tanda-tanda bateri kembung. Bateri yang kembung adalah tidak selamat untuk digunakan di dalam mana-mana alat elektronik.

Contoh bateri dari peranti YES yang sudah kembung.

Bagi mengatasi masalah YES Altitude 3 panas pula, pengguna disyorkan supaya tidak menonton video terlalu lama atau pengunaan terlalu lama di skrin seperti persidangan video (Google Meet, Zoom, dll.) atau permainan digital.

Pengguna juga boleh boleh menutup pelbagai aplikasi berjalan di latar belakang yang tidak diperlukan lagi dengan menekan dua kali butang menu (di kanan bawah skrin) dan klik “KOSONGKAN SEMUA”).

Tetapi jika didapati suhu telefon pintar tersebut masih menjadi semakin panas ketika disentuh, anda hendaklah berhenti pengunaan telefon pintar itu dengan segera.

Selain itu, YES juga mengesyorkan anda melakukan perkara-perkara berikut sekiranya telefon pintar YES Altitude 3 masih panas:-

  • Pastikan aplikasi dalam peranti dikemas kini.
  • Menghentikan aplikasi yang berjalan latar belakang (klik dua kali pada butang menu (di kanan bawah skrin) dan klik “KOSONGKAN SEMUA”).
  • Hidupkan Mod Penjimatan Bateri.
  • Turunkan tahap kecerahan.
  • Periksa kabel pengecasan – kabel pengecasan yang rosak boleh menyebabkan pengecas tidak berfungsi. Pastikan kabel dalam keadaan baik.
  • Jangan tinggalkan telefon pintar di papan pemuka kereta, atau di tepi tingkap dengan cahaya matahari secara langsung.

Sumber: YES

Baca juga: Sebuah Telefon Pintar Didakwa Terbakar Secara Tiba-Tiba Ketika Sesi PdPR

Pelajar Insiden Kedua Telefon Pintar Terbakar Terima Telefon Pintar Baru

Peranti Yes Terbakar, Xiaomi Beri Peranti Redmi Percuma Sebagai Ganti

Lagi Laporan Peranti Pintar Didakwa Terbakar Melibatkan Model Yang Sama