Seiring dengan kemajuan teknologi alaf ini, kebanyakkan syarikat di seluruh dunia telah menggunakan sistem pengecaman wajah dan sistem pengecaman cap jari untuk merekod kehadiran di tempat kerja.
Selain itu, sistem ini turut digunakan sebagai sistem keselamatan pada peranti seperti telefon pintar, tablet dan lain-lain. Kedua-dua sistem ini mempunyai ketepatan dan kejituan dalam pengecaman identiti seseorang.
Di samping itu, terdapat sistem keselamatan lain yang turut digunakan seperti sistem kata laluan (password), corak (pattern), sistem pengecaman suara dan sistem pengecaman mata atau iris yang pernah digunakan oleh Samsung Galaxy sebelum ini.
Namun, yang ingin saya ketengahkan dalam artikel kali ini ialah berkenaan perbezaan di antara sistem imbasan wajah dan sistem imbasan cap jari.
Perkara utama yang diambil kira untuk menyimpan data seseorang ialah ciri fizikal wajah atau cap jari pengguna. Pengecaman identiti yang diambil kira semasa proses pengecaman wajah atau cap jari akan disimpan di dalam pangkalan data dan proses memadankan data akan dijalankan.
Apabila sistem tersebut dapat mengenali identiti pengakses, maka pengguna tersebut boleh mengakses sesuatu tempat atau teknologi apabila identitinya telah disahkan. Kita perlu ingat, walau secanggih mana pun sesuatu teknologi itu pasti akan ada kelebihan dan kekurangannya tersendiri.
Sistem Pengecaman Wajah
Sistem pengecaman wajah merupakan aplikasi daripada komputer yang mampu mengenal pasti atau mengesahkan identiti seseorang sama ada melalui kompenan digital mahupun dalam bentuk video.
Sistem pengecaman wajah telah diaplikasikan dalam pelbagai sistem keselamatan masa kini terutamanya di lapangan terbang. Sistem ini telah banyak membantu melancarkan proses agensi penguatkuasa undang-undang dalam mengesan penjenayah, analisis forensik dan juga sistem pengawasan lain.
Contohnya, semasa fasa pandemik. Sistem ini juga telah digunakan untuk mengesan suhu seseorang yang diletakkan pada pintu masuk lapangan terbang. Secara tidak langsung dapat mengurangkan berlakunya sentuhan fizikal antara satu sama lain.
Selain lapangan terbang, sistem ini juga turut digunakan di syarikat-syarikat, institusi awam, kilang, hospital, makmal, pusat sukan dan hotel.
Sistem pengecaman wajah juga telah diaplikasikan dalam telefon pintar yang telah meningkatkan tahap keselamatan data peribadi pengguna telefon pintar. Perkara tersebut telah memudahkan para pengguna untuk mengakses terus ke dalam telefon pintar tanpa perlu memasukkan kata laluan.
Pengguna hanya perlu memastikan kedudukan muka selari dengan kamera hadapan telefon pintar anda dan hanya memerlukan satu saat sahaja untuk menyahkunci telefon pintar anda. Akan tetapi, pengcahayaan yang cukup juga menjadi faktor utama dalam penggunaan sistem ini kerana tanpa cahaya, identiti wajah anda tidak dapat dikenal pasti.
Namun, terdapat juga telefon pintar yang telah meningkatkan tahap kemampuan sistem pengecaman wajah mereka daripada 2D kepada 3D. Sistem 3D ini juga dilengkapi dengan laser yang mampu mengecam wajah pengguna walaupun berada dalam gelap.
Apple merupakan antara pengeluar telefon pintar yang menggunakan sistem 3D ini. Namun, Sony juga kelihatan berminat untuk bersaing dengan sistem ini yang mana mereka mahu menaik taraf sistem ini menjadi lebih padu dan jitu daripada sistem yang sedia ada.
Selain, Apple, jenama seperti Huawei dan HONOR juga mempunyai pengecaman wajah menggunakan laser untuk imbasan 3D.
Sistem Pengecaman Cap Jari
Sistem pengecaman cap jari merupakan teknologi biometrik yang menggunakan cap jari untuk mengenal pasti identiti seseorang. Disebabkan cap jari setiap orang adalah berbeza, maka kejituan untuk mengenal pasti identiti seseorang adalah lebih tepat berbanding sistem lain.
Sistem ini banyak digunakan oleh jabatan dan agensi utama di Malaysia.
Antaranya:
- Jabatan Imigresen
- Polis Diraja Malaysia (PDRM)
- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
- Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia
- Kementerian Kesihatan Malaysia
- Intitusi Perbankan
Sistem ini telah digunakan meluas di seluruh dunia dan menjadi alat yang asas untuk memastikan keselamatan jenayah. Selain itu, turut digunakan oleh pihak forensik dan juga turut digunakan untuk pencegahan jenayah.
Sistem pengecaman cap jari juga digunakan pada peranti telefon pintar. Sistem ini berfungsi sebagai sistem keselamatan yang digunakan untuk mengenal pasti identiti seseorang pengguna.
Sistem ini mampu menyimpan data cap jari seseorang lebih daripada satu jari. Jadi, sekiranya salah satu cap jari anda mengalami kerosakan atau masalah, anda boleh menggunakan jari yang lain sebagai medium pengesahan identiti pengguna.
Untuk pengetahuan anda, sistem ini memerlukan sentuhan fizikal untuk mengakses sesuatu peranti atau sistem. Selain itu, sistem ini juga boleh digunakan dalam apa jua situasi dengan syarat jari anda tidak mempunyai halangan yang mampu menyebabkan sistem tersebut tidak dapat mengenal pasti identiti anda.
Perbezaan
Jadi, antara sistem pengecaman wajah dan sistem pengecaman cap jari, yang manakah lebih jitu dan tepat?
Pada pengamatan, apa yang pasti kedua-dua sistem ini mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing kerana tiada yang sempurna di atas muka bumi ini. Namun, perkara utama yang membezakan kedua-dua sistem ini adalah dari segi memerlukan sentuhan fizikal atau tidak.
– Dari aspek sentuhan fizikal, kita dapat melihat bahawa sistem pengecaman wajah lebih unggul kerana sistem tersebut tidak memerlukan sentuhan fizikal. Umum mengetahui bahawa sentuhan fizikal ini akan memberikan risiko penyebaran bakteria atau virus kepada pengguna. Tambahan pula, pada era ini telah timbulnya pelbagai jenis penyakit berjangkit sehingga mampu memberi ancaman pada nyawa.
– Dari aspek ketepatan identiti, cap jari merupakan identiti yang berbeza yang dimiliki oleh setiap orang berbanding wajah. Hal ini kerana, bagi setiap orang di dunia ini, dikatakan terdapat 7 muka yang mempunyai persamaan antara satu sama lain. Tidak termasuk lagi dengan individu yang mempunyai kembar seiras. Perkara tersebut menyebabkan sesuatu peranti atau sistem yang menggunakan pengecaman wajah lebih terdedah kepada risiko untuk diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Konklusinya, secanggih mana pun sesuatu sistem itu pastinya akan bergantung kepada penggunanya semula kerana sesuatu sistem tersebut dapat berfungsi dengan baik sekiranya berada pada tangan yang betul. Sebaliknya, sesuatu sistem tersebut tidak akan berfungsi dengan baik sekiranya berada pada tangan orang yang salah ibarat “tikus membaiki labu”.
Gunakan sebaik mungkin terhadap sistem yang telah wujud pada masa kini agar ia mampu memberikan pulangan yang berfaedah kepada pengguna itu sendiri. Jangan disalah gunakan supaya tidak menghadirkan sebarang risiko atau ancaman kepada diri anda sendiri.
{suggest}
Sumber: Verihubs
Gambar Utama: Swiftlane