Xiaomi adalah satu jenama telefon pintar yang tidak lagi perlu diperkenalkan pada hari ini. Ia terkenal dengan penawaran peranti mampu milik dengan spesifikasi yang menarik.
Baru-baru ini, jenama tersebut telah pun diumumkan sebagai jenama telefon pintar paling laris semasa promosi jualan sempena ulang tahun ke-7 gedung atas talian terkemuka, Lazada.
Kami percaya antara peranti yang membantu Xiaomi pada kali ini pastinya Redmi Note 7 yang baru dilancarkan pada 19 Mac lalu bagi pasaran tempatan.
Ia ditawarkan pada harga RM679(3GB RAM/32GB), RM799(4GB RAM/64GB) dan RM949(4GB RAM/128GB).
Dengan harga sedemikian, Redmi Note 7 ini hadir dengan spesifikasi menarik seperti cip Snapdragon 660, bateri berkapasiti 4000mAh serta lensa kamera utama 48MP.
Pada 21 Mac – 27 Mac yang lalu, Lazada telah mengadakan promosi jualan sempena ulang tahun ke-7 mereka dan ia melibatkan pelbagai jenis produk termasuk elektronik, produk kecantikan, peralatan muzik dan banyak lagi.
Sumber: Xiaomi Malaysia