Penantian peminat kini berakhir apabila Xiaomi secara rasmi mengumumkan pelancaran peranti andalan terbaru, Mi 11 sebentar tadi. Membawakan sejumlah spesifikasi terbaik, Mi 11 akan dijual pada harga bermula dari 3999 yuan (~RM2480) sehingga 4699 yuan (~RM2914).

Mi 11 tampil dengan skrin paparan AMOLED berukuran 6.81-inci bersama resolusi 2K dengan ketumpatan 551ppi. Menguatkan lagi ciri paparan adalah sokongan kadar segar semula 120Hz dan input sentuhan 480Hz. Ia juga mempunyai perlindungan Corning Gorilla Glass Victus.

Spesifikasi Mi 11

Seperti yang diketahui, Mi 11 adalah peranti pertama yang dijana cip pemproses Snapdragon 888 yang berasaskan teknologi 5nm. Ia digandingkan dengan memori RAM sehingga 12GB yang berasaskan LPDDR5 dan storan dalaman sehingga 256GB berasaskan UFS 3.1.

Spesifikasi Mi 11

Untuk kamera, ia menampilkan tetapan tiga kamera yang terdiri daripada 108MP (f/1.85) utama dengan sokongan OIS dan 7P-elemen, 13MP (f/2.4) sudut lebar, dan 5MP telefoto makro. Dari segi rakaman video, ia didatangkan mod Super Night View dengan perincian yang dipertingkatkan.

Peranti ini memperoleh skor A+ dalam gred prestasi skrin oleh DisplayMate. Tahap maksimum kecerahan pula boleh mencapai sehingga 1500 nit. Paparan peranti turut menyokong DCI-P3, HDR10+ dan MEMC.

Spesifikasi Mi 11

Dari segi audio, ia dilengkapi sokongan audio dari Harman Kardon dengan pembesar suara stereo.

Kapasiti bateri yang dimuatkan pada Mi 11 adalah 4600mAh. Peranti ini juga menyokong pengecasan berwayar 55W, pengecasan tanpa wayar 50W dan pengecasan berbalik 10W.

Untuk menjaga alam sekitar, Xiaomi mengumumkan dua versi jualan, iaitu Standard Edition yang hadir tanpa pengecas dan kabel pengecasan, manakala Package Edition didatangkan dengan pengecas 55W GaN. Kedua-dua versi ini dijual pada harga yang sama.

Antara lainnya adalah sokongan 5G, Wi-Fi 6E, imbasan cap jari pada skrin dan sebagainya. Terdapat 5 pilihan warna dengan dua panel berbeza ditawarkan iaitu Rock Black, Milk White, Blue. Sementara itu, panel belakang dari jenis kulit ditawarkan dengan warna Smoke Purple dan Khaki.

Harga

Harga jualan Mi 11 adalah seperti berikut:

Mi 11

  • RAM 8GB/128GB – 3999 yuan (~RM2480)
  • RAM 8GB/256GB – 4299 yuan (~RM2666)
  • RAM 12GB/256GB – 4699 yuan (~RM2914)

Buat masa ini, ia hanya hadir untuk pasaran China dan belum diketahui bila akan dilancarkan untuk pasaran global.