Sebelum ini, beberapa pengeluar telefon pintar dilaporkan bakal memperkenalkan telefon boleh lipat jenama masing-masing pada 2021. Antaranya termasuk Xiaomi, Google, OPPO dan vivo.

Terbaru, Ross Young menerusi ciapan di Twitter menyatakan Xiaomi dijangka melancarkan 3 jenis telefon pintar pada tahun hadapan.

Antaranya adalah telefon dengan skrin yang boleh dilipat ke luar seumpama Huawei Mate X. Bagi saiz, kemungkinan peranti ini mempunyai ukuran yang hampir sama seperti Mate X iaitu sekitar 8-inci.

Selain itu, Xiaomi juga dijangka melancarkan telefon dengan lipatan skrin ke dalam seperti Galaxy Z Fold 2 dan telefon yang mempunyai skrin boleh dilipat tutup seumpama Samsung Galaxy Z Flip.

Ketika ini, Samsung dan Huawei mendominasi segmen pasaran telefon boleh lipat. Bagaimanapun, tanpa sokongan GMS pada peranti Huawei, ia memberikan kelebihan kepada telefon boleh lipat Samsung. Dengan kehadiran lebih banyak jenama telefon boleh lipat, sudah pasti dapat memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna pada masa akan datang.

Sumber: Ross Young