Baru-baru ini, Xiaomi telah pun melancarkan peranti andalan Mi 11 untuk pasaran global dan khususnya Malaysia.

Kini, Xiaomi dilaporkan dalam fasa pembangunan peranti andalan terbaru, di mana ia dijangka akan dilancarkan pada separuh kedua tahun ini. Menariknya, peranti ini akan menjadi yang pertama hadir dengan sokongan pengecasan 200W.

Bukan kali pertama, Digital Chat Station pada November tahun lalu telah mendedahkan perkara yang sama di mana ia mendakwa Xiaomi bakal memperkenalkan teknologi pengecasan 200W+ pada tahun 2021.

Bagaimanapun, perlu diketahui kemungkinan teknologi pengecasan 200W yang akan dimuatkan pada peranti ini merupakan gabungan keseluruhan bagi pengecasan berwayar, tanpa wayar serta pengecasan berbalik. Ini bermaksud, peranti ini tidak hadir dengan satu-satunya pengecasan pantas 200W berwayar.

 

Sehingga kini, peranti dengan pengecasan terpantas yang ditawarkan oleh Xiaomi adalah Mi 10 Ultra yang hadir dengan sokongan pengecasan pantas 120W dan integrasi keseluruhan 180W. Bagaimanapun, ia hanya terhad untuk pasaran China sahaja.

Sementara itu, Mi 11 pula hanya ditawarkan dengan sokongan pengecasan 115W.

Buat masa ini, belum diketahui peranti Xiaomi yang mana akan hadir dengan sokongan pengecasan 200W. Sama ada ia merupakan peranti dalam siri Mi 11, Mi Mix atau sebaliknya, nantikan lebih banyak maklumat mengenainya dari semasa ke semasa.

Sumber: GizmoChina