Platform X kini telah mengenakan syarat baharu ke atas pengguna di New Zealand dan Filipina di mana mereka mengenakan bayaran sebanyak NZD1.43 (~RM4) dan PHP42.51 (~RM3.55) setahun sebelum melanggan platform tersebut.
Menurut X, program langganan yang dikenali sebagai “Not A Bot” itu direka bagi meningkatkan usaha pengurangan spam, manipulasi platform dan aktiviti bot daripada berterusan. Selain itu, pengguna daripada New Zealand dan Filipina juga perlu mengesahkan akaun mereka dengan menggunakan nombor telefon.
Berdasarkan siaran X, mereka tidak menjelaskan sebab tertentu langganan berbayar itu hanya dikenakan kepada pengguna baharu yang menyertai melalui web walhal ianya tidak dikenakan ke atas pengguna yang mendaftar melalui aplikasi mudah alih.
Juga tiada sebab yang jelas mengapa program itu hanya dilaksanakan di 2 buah negara itu sahaja.
Mereka juga menekankan bahawa pengguna baharu yang menarik diri dari langganan hanya boleh melakukan tindakan “read only” sahaja di aplikasi tersebut seperti melihat siaran dan menonton video.
“Pengguna baharu yang menarik diri daripada melanggan hanya akan dapat mengambil tindakan “baca sahaja”, seperti: Baca siaran, Tonton video dan Ikuti akaun.” X
Program ini merupakan tambahan daripada langganan utama X yang berharga USD8 (RM50) sebulan. Elon Musk pada awalnya telah mengatakan yang pengambilalihannya terhadap aplikasi Twitter akan mengenakan bayaran kepada pengguna dalam menghalang tentera bot walaupun jangkaannya terhadap bilangan pengguna yang akan membayar adalah sedikit.
{suggest}
Sumber: Verge