Windows Vista secara rasminya telah diperkenalkan pada 30 Januari 2007, dan telah menjadi bencana sistem operasi Windows paling buruk dalam sejarah syarikat Microsoft itu.

Ia sepatutnya menjadi pengganti kepada Windows XP namun tidak kesampaian. Windows Vista hadir dengan antara muka grafik berbeza, dan pelbagai elemen serta komponen baharu.

Namun begitu, sambutan Windows Vista sangat rendah dan pada 22 Oktober 2010, Microsoft menghentikan jualan Windows Vista. Dengan anggaran 330 juta pengguna seluruh dunia pada Januari 2009, ia jauh lebih rendah dari Windows XP.

Ini adalah mengapa Windows Vista gagal mendapat sambutan yang sepatutnya menjadi pengganti kepada Windows XP.

1. Terlalu Banyak Masalah

Sejak pengenalannya, Windows Vista mempunyai masalah ketidaksesuaian dengan perkakas, perisian, pemacu dan lain-lain. Banyak perisian dan perkakas yang sedia ada pada waktu itu tidak sesuai untuk menggunakan Vista.

Disebabkan banyak program dan perkakas penting tidak boleh menggunakan Vista, banyak bahagian IT dalam syarikat tidak boleh memasang Vista kerana tidak mahu merisikokan sistem syarikat.

Ini juga adalah penyebab mengapa tidak ramai yang mahu menggunakan Vista kerana masalah yang melanda sistem operasi itu.

2. Vista Terlalu Perlahan

Sejak sekian lamanya ramai pembangun dan professional IT mengkritik Microsoft sebagai sistem yang berat kerana terlalu banyak ciri dan fungsi menjadikan kod perisian sukar untuk dikendalikan.

Sehinggalah pelepasan Vista baru segala permasalahan ini lebih ketara. Dengan Vista ia mempunyai 50 juta baris kod sedangkan XP sebelumnya hanya mempunyai 35 juta baris sahaja.

Windows Vista juga banyak songeh kerana memerlukan perkakas berkuasa untuk mengoperasikannya. Bayangkan versi terkini Windows XP mempunyai prestasi lebih baik dari Windows Vista.

Disebabkan masalah perlahan ini, tidak ramai yang mahu memasang Vista kerana risau akan prestasi komputer mereka menjadi perlahan.

3. Windows XP Adalah Lebih Baik

Apabila Windows XP dilancarkan pada tahun 2001, terdapat sekitar 600 juta pengguna Windows yang dibahagikan kepada 2 pengguna.

  • Windows 95/98 (65%)
  • Windows NT (25%)

Untuk menyatukan kesemua pengguna ini, Windows XP telah dilepaskan dan Microsoft berjaya mencapai tujuan itu. Dengan jumlah 1.1 billion komputer  pada tahun 2008, 80% daripadanya menggunakan XP.

Dengan jumlah sebegini, sudah terlalu banyak komputer serta syarikat IT yang menggunakan program dengan XP, jadi agak sukar untuk beralih kepada Vista.

Tambahan lagi, lebih banyak komputer menggunakan Windows XP pada beberapa tahun berikutnya disebabkan XP boleh beroperasi pada komputer murah dan kurang berkuasa.

4. Harga Jualan Mahal

Windows Vista tidak murah. Ketika pengenalannya, ia dijual pada harga $400 untuk edisi Ultimate, yang setanding dengan edisi Windows 10 Pro masa kini.

Sebagai perbandingan, Windows 10 Pro boleh dibeli pada harga jauh lebih murah iaitu $199 (Malaysia RM1,299).

Walaupun ada versi Vista lain, ia masih juga mahal pada ketika itu.

Disebabkan itu, ramai yang tidak mahu mengeluarkan duit yang banyak hanya untuk menggunakan Vista sedangkan XP tidak mempunyai masalah untuk digunakan.

5. Kempen Apple Yang Berjaya

Apple mengambil kesempatan memerli Microsoft melalui kempen iklan “I’m a Mac” mengatakan Windows Vista bermasalah, bosan, dan sukar untuk digunakan.

2 tahun selepas itu, Microsoft membalas iklan kepada Apple melalui kempen “I’m a PC” untuk menyelamatkan maruah Windows dari dipijak-pijak. Namun pada ketika itu, ia sudah terlambat untuk menghilangkan reputasi Vista sebagai sistem operasi yang bermasalah.

Pada 22 Oktober 2009, Microsoft melepaskan Windows 7, sistem perisian untuk menggantikan Vista. Berbeza dengan Vista, Windows 7 mendapat sambutan kerana menawarkan peningkatan presasi, antaramuka lebih menarik dan banyak lagi penambah baikan.

Walaupun belum dilepaskan secara rasmi, Windows 7 lari dijual secara atas talian. Dalam hanya 6 bulan, lebih dari 100 juta salinan Windows 7 telah terjual sebagai bukti Microsoft telah belajar dari kesilapan mereka.

Rujukan 1
Rujukan 2
Rujukan 3