Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan sindiket penipuan menggunakan taktik penyamaran panggilan telefon dari “Jabatan Kerajaan” masih berlaku sehingga ke hari ini.

PDRM memaklumkan, sepanjang tempoh Januari sehingga 15 September 2021 sahaja, sebanyak 1,421 kes berkaitan penyamaran sebagai pegawai kerajaan melalui panggilan telefon telah direkodkan.

Taktik penipuan itu telah menyebabkan kerugian keseluruhan yang berjumlah RM57,372,102.72 sepanjang tempoh tersebut.

PDRM menerangkan, sindiket akan menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai pegawai polis, LHDN, mahkamah, pegawai Kastam (KDRM), atau dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sindiket itu akan menakutkan mangsa dengan memaklumkan mereka telah terlibat dalam siasatan jenayah.

Mangsa yang terpedaya kerana takut akan menuruti arahan sindiket yang meminta mangsa menyerahkan maklumat peribadi mereka seperti Kata Laluan, ID Pengguna, nombor kad ATM dan nombor TAC kepada sindiket.

Malah mangsa juga diarahkan memindahkan wang ke akaun bank pihak ketiga (keldai akaun) yang menyamar pula sebagai pegawai bank negara kononnya untuk siasatan.

Malangnya mangsa yang terpedaya hanya menyedari mereka telah ditipu selepas wang diberikan kepada sindiket tersebut.

Sehubungan itu, PDRM meminta orang ramai supaya berwaspada dengan taktik penyamaran sebegini.

Sumber: PDRM