Storan luaran pada masa kini boleh dikatakan amat penting. Bukan sahaja dalam kalangan pengguna profesional, ia juga digunakan bagi pengguna harian biasa.

Tidak kira sama ada anda mahu menjadikan storan luaran ini sebagai fail sandaran atau pun sebagai simpanan gambar dan video kegemaran anda.

Western Digital (WD) yang umum mengetahui adalah salah satu syarikat terkenal dalam barisan produk bagi storan komputer. Pada Ogos yang lalu, WD telah mengumumkan storan terbaharu mereka iaitu My Passport SSD.

Ini bukanlah kali pertama WD mengeluarkan storan luaran SSD kerana mereka sudah ada storan ini pada model dengan nama yang sama. Akan tetapi, model ini hadir dengan rekaan baharu dan menggunakan teknologi NVMe.

Jika anda sedang mencari storan luaran SSD dengan ciri yang menarik, berikut kami sediakan sedikit ulasan mengenai storan SSD daripada Western Digital ini.

Rekaan

Rekaannya sangat kompak dan cantik dengan rupa luaran seperti kelihatan menggunakan logam tetapi binaan keseluruhannya hanyalah plastik.

Kerangkanya juga melengkung dan bulat pada bahagian bucu. Rekaan ini diberi nafas baharu berbanding model sebelumnya yang guna rekaan berbentuk petak. Terdapat 4 warna yang boleh dipilih iaitu merah, biru, kelabu dan emas.

SSD ini juga mudah dibawa kemana sahaja disebabkan rekaannya yang ringan dan kompak serta boleh muat untuk dimasukkan ke dalam poket seluar sama seperti anda membawa pendrive.

Anda tidak perlu takut jika ia terjatuh kerana SSD ini kalis getaran dan hentakan setinggi 1.98m. Ia didatangkan dengan kabel USB-C dan penyesuai USB-C ke USB-A bagi anda yang tidak mempunyai port USB-C pada komputer riba.

Tambahan lagi, ia menggunakan teknologi USB 3.2 Gen-2 yang akan memberikan masa untuk memindahkan fail lebih pantas dimana model sebelum ini hanya menggunakan USB 3.1 Gen-2.

Prestasi WD My Passport SSD NVMe

WD menyatakan SSD ini mampu memberikan kelajuan membaca sehingga 1050MB/s dan kelajuan menulis sehingga 1000MB/s. Namun begitu, anda memerlukan komputer dengan port USB 3.2 Gen2 (10Gbps) atau Thunderbolt 3 bagi mendapatkan kelajuan yang dinyatakan itu.

Kesimpulan

WD My Passport NVMe SSD merupakan sebuah storan luaran yang sangat sesuai untuk dimiliki terutama jika anda seorang profesional yang memerlukan storan pantas.

Dengan rekaan yang kecil dan ringan, anda tidak akan hadapi masalah untuk membawanya ke mana sahaja berbanding storan luaran HDD yang lebih besar. Ia turut menyokong komputer yang menjalankan sistem Windows mahupun macOS.

Jika anda seorang gamer, anda juga boleh menggunakan SSD ini untuk memasangkan (install) permainan anda ke dalamnya disebabkan prestasinya yang pantas, ia mampu memainkan secara terus melaluinya.

Harga yang ditawarkan adalah sedikit mahal berbanding storan SSD biasa kerana ia hadir dengan teknologi NVMe yang memberikan prestasi 2 kali lebih laju. Harga pula bermula RM599 bagi 500GB sehingga RM1,999 bagi storan 2TB.

WD telah melakukan kerja yang baik dalam penawaran mereka kali ini, dengan rekaan kompak serta kelajuan membaca dan menulis sehingga 1GB/s, anda boleh pertimbangkan untuk membelinya.

Sekiranya anda tertanya-tanya patutkah anda miliki storan luaran HDD atau SSD, ia bergantung kepada penggunaan anda.

Perlu ada jika anda sering melakukan kerja-kerja penyuntingan dan sekiranya tidak atau hanya menjadikan storan biasa, anda tidak digalakkan untuk berbelanja lebih bagi memiliki storan luaran SSD.

Boleh beli dari,
Lazada:
https://invol.co/cl242j9
Shopee:
https://invol.co/cl242ke