HUAWEI P60 Pro ialah model andalan terbaru daripada jenama itu untuk 2023. Seperti biasa, siri ini menjadikan kamera sebagai kuasa utama.
Di Malaysia, harganya bermula pada. Ketahuilah bahawa ia secara rasmi menduduki tempat pertama dalam DXOMARK sekarang.
Jenama China ini sudah berpisah dengan Leica sejak beberapa tahun lalu. Jadi, apakah kameranya masih berkuasa seperti zaman kegemilangannya seperti Huawei P8, P9 dan P10 serta P20 dulu?
Saya kongsikan pengalaman menggunakannya dalam sini.
Rekaan
Saya sangat sukakan saiznya yang tidak terlalu besar dan tebal, ngam-ngam dalam tangan. Kompak bukanlah perkataan tepat untuk huraikannya kerana ia bersaiz 6.67 inci.
Kami beruntung kerana mendapat unit dalam warna putih Rococo Pearl yang diinspirasi daripada rekaan tiram. Saya tidak gemarkan rekaan sebegini namun ramai yang sukakannya.
Paparan
Dengan OLED LTPO, menikmati kandungan seperti video YouTube dan Netflix memang menyeronokkan, sama seperti peranti OLED lain.
Isunya mungkin sekadar reka bentuk skrin melengkung kerana banyak pengguna kurang menyukainya.
Audio
Sebagai sebuah telefon yang menumpukan terhadap kemampuan kamera, saya kagum dan sedikit terkejut kerana kualiti audio yang dikeluarkan daripada pembesar suara stereonya agak bagus.
Audionya masih berlemak dan agak lantang. Saya tidak perlu naikkan sehingga 90% pun, cukup 80% sudah agak kuat berbanding telefon lain.
Pun begitu, bunyinya tidak pecah pada tahap 90%.
Kamera
Mod biasa
Saya sangat sukakan signature warna dibawakan HUAWEI di mana warna foto akan digelap dan dipekatkan sedikit.
Ia sedikit vibrant tapi bukan terlalu cerah, cukup untuk nampak ia hasil pemprosesan telefon tetapi tidak menjadikan gambar buruk.
Bila saya katakan gelap, bukanlah bermaksud pencahayaan gelap seperti malam tapi warnnya menjadi terlalu terang seperti biasa dilakukan telefon lain bila warna objek dipekatkan.
Ia serba sedikit memberi rasa ‘premium’ pada foto, bagi saya.
Selain itu, imej juga kelihatan sangat tajam walaupun bila dizum, butirannya tidak terperinci. Untuk muat naik terus ke media sosial tanpa edit? Sangat sesuai.
Isu warna hijau atau merah yang terlalu cerah seperti berlaku pada peranti Samsung langsung tidak berlaku. Seperti saya katakan, warna akan digelapkan sikit, jadi masalah sesetengah warna yang terlalu pop-up memang tidak wujud.
Maka, kalau anda mahukan hasil gambar dengan warna menghampiri warna sebenar objek, ia tidak dapat dicapai pada P60 Pro. XMAGE akan memproses gambar dan hasilkan tona warna yang bagi saya sebuah signature daripada HUAWEI.
Kemampuan HDR pada peranti ini juga sangat bagus. Jadi, tak ada masalah jika anda ambil gambar membelakangi cahaya matahari.
Potret
Dalam pencahayaan terang dan bawah matahari terik, hasilnya begitu memuaskan. Saya suka dengan kesan bokeh pada latar yang juga berbeza daripada telefon lain.
Ketika zum 2X pun, hasil gambarnya sebaik 1X dan memang memuaskan hati.
Pun begitu, banyak kali saya hadapi di mana kamera tidak mengesan wajah manusia sedangkan di bawah cahaya matahari dan wajah saya sangat jelas memandang kamera.
Menambah kekecawaan saya, apabila mod potret digunakan semasa di dalam bangunan (indoor), waktu malam dan apa-apa keadaan selain cahaya yang terang, kebanyakan hasil gambar tidak boleh dipertimbang untuk disimpan pun.
Bukan saja pemisahan objek dan latar saja yang tidak kemas, malah objek juga menjadi kabur dan warnanya juga pudar.
P60 Pro seolah-olah ada masalah fokus, walaupun saya gunakan zum 1X.
Bila saya gunakan dengan zum 2X dan ke atas, bertambah kecewa saya kerana hasilnya juga kadang sama dan ada yang lebih teruk.
Namun, perkara ini mungkin dapat diperbaiki dalam kemas kini akan datang.
Zum
Dua lensa 48MP pada telefon ini ialah untuk kamera dan telefoto. Ternyata, 48MP periskopnya menjalankan tugas dengan sangat baik.
Bukan saja ‘perform’ dalam gambar, malah juga video.
Sudut lebar melalui lensa 13MP tidak ada apa-apa untuk saya kagumi, malah terkadang juga tidak memuaskan.
Namun, hasil foto daripada mod zum 2x, 3.5 hinggalah 10 — mengagumkan.
Butiran objek sangat terperinci dan begitu tajam, warna masih kekal sama setiap tahap zum dan paling penting, signature warna HUAWEI pun kekal terpakai.
Ia tidak setanding Samsung Galaxy tapi sangat bagus sehinggakan nampak ia ditangkap dalam mod 1X.
Bagi video pula, butiran objek juga masih tajam seperti hasil gambar tetapi isunya anda akan nampak peralihan antara lensa ketika zooming semasa memasuki tahap 10X. Ia tidaklah ketara namun kalau anda mempunyai mata yang tajam, pasti perasan.
Video
Video yang dirakam di bawah cahaya matahari yang mencukupi memberikan hasil yang memuaskan.
Kalau waktu malam pula, agak teruk kerana videonya kabur, warnanya terlalu luntur, ditambah pula dengan silau yang ditangkap daripada lampu jalan, ia menambah duka saya.
Hasil video boleh anda lihat dalam video ulasan kami.
Antara isu yang paling mengganggu saya ialah ketidaktepatan warna dan kestabilan video kerana ia tidak sepatutnya wujud pada sebuah model P daripada HUAWEI.
Walaupun ketika berjalan seperti biasa, kesan gegaran dan pergerakan itu terlalu jelas dalam video, sama ada ketika siang mahupun malam.
Isu stabilisasi ini saya tidak jumpa pada model berfokuskan kamera jenama lain seperti vivo X80, X90, Magic5 Pro apatah lagi Galaxy S23.
Senang kata, video P60 Pro seolah-olah dirakam menggunakan sebuah telefon pertengahan. Saya mempunyai jangkaan yang tinggi untuknya namun ternyata video bukanlah kekuatan model ini.
Mod malam
Dengan Night Mode, memang jelas perbezaan cahaya antara mod biasa dan malam.
Ia mengambil masa sekitar 3 saat namun hasilnya agak baik walaupun tanpa tripod.
Butiran dalam gambar masih terpelihara, warnanya juga sama seperti mod biasa.
Saya tiada isu dengan mod malam kerana ia memberikan hasil yang baik dan kurang menggunakannya.
Saya lebih suka menggunakan mod biasa kerana ia foto tidak dipenuhi cahaya melampau dan gemar dengan kegelapan yang ada.
Kesimpulan
Dari segi rekaan, HUAWEI P60 Pro menjadi antara telefon kegemaran saya kerana dimensinya yang tidak besar dan tak terlalu kecil. Dengan skrin Quad-Curve, saya sangat selesa menggunakannya setiap kali.
Bagi kamera, mod biasanya menjadi pengalaman terbaik pernah saya gunakan setakat perkhidmatan saya di Wiser setakat ini.
Signature warnanya saya takkan lupakan kerana ia tidak ditemui pada mana-mana telefon jenama lain. Mod zum juga sangatlah memuaskan.
Namun, potret dan video menjadi racun model ini. Isu potret mungkin dapat diselesaikan melalui kemas kini tetapi saya fikir masalah video akan kekal, atau hanya menerima sedikit penambahbaikan.
Jadi, kalau anda suka ambil gambar biasa dan bermain zum, HUSWEI P60 Pro akan beri pengalaman baharu dan pastinya akan jadi antara yang terbaik.
Tetapi, kalau rajin berpotret dan mahukan sebuah telefon dengan kamera berkuasa setiap aspek fotografi an videografi, P60 Pro memang jauh daripada pertimbangan.
HUAWEI P60 Pro kini memegang takhta DXOMARK namun dalam penggunaan sebenar saya, ia belum cukup memenuhi segenap sudut.
Beli
Anda sudah boleh pratempah mulai hari ini dan ia akan tersedia mulai 20 Mei 2023.