Baru-baru ini ASUS Malaysia telah memperkenalkan siri komputer riba ZenBook 14 terkini untuk pasaran Malaysia. Melaluinya ia membawakan pemprosesan terkini Intel Tiger Lake Gen-11 dan juga grafik terbina Intel Iris Xe.

Pihak ASUS telah menghantar sebuah unit komputer riba itu kepada pejabat untuk diuji. Jadi mari kita lihat sejauh manakah hebatnya cip pemprosesan Intel terbaharu ini, dan juga ZenBook 14 secara keseluruhan.

Spesifikasi

  • Model: ASUS ZenBook 14 UX425EA (2020)
  • CPU: Intel i7-1165G7 4 teras 16 bebenang pada 2.8GHz (Tiger Lake)
  • GPU: Intel Iris Xe Graphics
  • RAM: 8GB DDR4
  • Storan: 512GB PCIe NVMe M.2 SSD
  • Skrin: 14 Inci Full HD (1920 x 1080), 16:9, IPS LCD
  • I/O: HDMI, Pembaca MicroSD, 2x USB-C Thunderbolt 4, USB-A 3.2 Gen 1
  • Bateri: 67Wh melalui USB-C
  • Dimensi: 1.39cm x 31.9cm x 20.8cm, 1.13Kg

Bahan Binaan / Rekaan

Siri klasik Zenbook 13/14 boleh dikatakan mengalami fasa berehat dari membuat sebarang perubahan rekaan dan rupa bentuk kerana mengekalkan rupa paras yang sama berbanding model sebelumnya.

Namun begitu, tidak dinafikan ini merupakan rekaan ikonik yang tidak mendatangkan masalah dari segi penggunaan kerana ia berpaksikan kepada fizikal ringan dan nipis.

ZenBook 14 ini hadir dengan rekaan aluminium pada luar dan tapak komputer riba. Tetapi, ia tidak menyeluruh kerana bezel skrin masih lagi diperbuat dari plastik. Binaan bezel plastik ini bukanlah satu kelemahan memandangkan kebanyakan pengeluar komputer riba pun hadir dengan rekaan sebegini.

Rungutan pertama apabila melihat kepada I/O yang disertakan pada ZenBook 14 adalah ketiadaan bicu 3.5mm. Walaupun ASUS tetap menyertakan penyesuai USB-C kepada 3.5mm, agak janggal mengapa bicu ini tidak disertakan secara terbina sahaja.

Pada bahagian kanan terdapat USB-A 3.2 Gen 1 dan pembaca MicroSD manakala bahagian kiri pula memuatkan HDMI, 2x USB-C dengan Thunderbolt 4 dan juga LED untuk status pengecasan.

Kedua-dua USB-C ini turut menyokong pengecasan berasaskan USB-C, jadi cucuk mana-mana pun tiada masalah untuk mengecasnya.

Paparan

ZenBook 14 menawarkan skrin 14 inci sesuai dengan namanya, yang menyertakan resolusi Full HD (1920 x 1080) dengan panel IPS. Paparannya mempunyai liputan warna sekitar 100% sRGB lantas menghasilkan warna yang terang dan memuaskan terutamanya untuk penyunting grafik.

Bezel nipis pada bahagian sisi juga menampakkan rekaan moden namun bezel pada model sebelum ini pun sudah sedia nipis. Jadi, ia bukan perkara yang baharu pada ZenBook 14 ini.

Papan Kekunci / Pad Sesentuh

Pad kekunci yang dibekalkan pada ASUS ZenBook 14 menghasilkan pengalaman menaip yang baik untuk sebuah ultrabook. Ia mempunyai maklum balas yang pendek kerana komputer riba ini agak nipis. Jikalau untuk dibuat bermain permainan video pun, anda memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri menaip melaluinya.

Saya kurang gemar dengan butang arah yang leper ini. Cukup hanya sekadar ada sahajalah.

Pad sesentuh dibina dari kaca dan mempunyai pad nombor tersembunyi dengan butang yang boleh diaktifkan pada bahagian sudut pad sesentuh. Ia berfungsi dengan baik dan memberikan kelebihan untuk pengguna yang mahukan pad nombor khas jika memilih komputer riba.

Prestasi

Sebagai sebuah komputer riba terkini, ZenBook menyertakan cip Intel Tiger Lake Gen-11 yang lebih berkuasa berbanding generasi cip sebelumnya. Yang paling utama di sini adalah pemprosesan grafik kerana ia dikatakan mampu menandingi prestasi grafik berasingan seperti barisan NVIDIA MX.

Melalui ZenBook 14, ASUS meletakkan cip Intel i7-1165G7 yang merupakan cip khusus ultrabook paling premium. Terdapat 2 varian yang boleh dipilih sama ada Intel i5-1135G7 atau Intel i7-1165G7, namun dari segi grafik, kedua-duanya sama sahaja yang menggunakan Intel Iris X3 Graphics.

Melalui Cinebench R23, kami mendapati cip ini mempunyai kuasa pemprosesan teras tunggal yang sangat berkuasa dengan skor 1392 manakala multi-teras pula pada 4696.

Perbandingan dalam Cinebench R23 dengan cip pemprosesan setaraf:

  • Intel Core i7-106557 – 1153 (Teras Tunggal) / 4475 (Multi-teras)
  • AMD Ryzen 4700U – 1184 (Teras Tunggal) / 6874 (Multi-teras)
  • AMD Ryzen 4800H – 1234 (Teras Tunggal) / 10590 (Multi-teras)
  • AMD Ryzen 4900H – 1284 (Teras Tunggal) / 11061 (Multi-teras)
  • Intel Core i7-1165G7 – 1392 (Teras Tunggal) / 4696 (Multi-teras)
  • Intel Core i7-1185G7 – 1538 (Teras Tunggal) / 6624 (Multi-teras)

Secara keseluruhan, cip Intel generasi ke-11 ini menawarkan prestasi teras tunggal yang lebih berkuasa jika dibandingkan dengan gen-10. Namun begitu, prestasi multi-teras masih dipegang oleh portfolio AMD.

Apa dapatan anda melalui perbandingan ini? Ini bermakna, jika anda mengutamakan prestasi multi-teras seperti penggunaan aplikasi Photoshop, Blender, Premier, atau penstriman, adalah lebih baik untuk anda membeli komputer riba AMD sahaja.

Tetapi bagaimana pula dengan prestasi grafik? Dalam Intel i7-1165G7 ini, ia turut dimuatkan dengan grafik terbina Intel Iris Xe Graphics yang lebih berkuasa berbanding mana-mana grafik-grafik terbina sebelum ini.

Sebelum menguji melalui permainan video, saya terlebih dahulu menguji prestasi grafik ini melalui perisian ukur aras sintentik. Ini merupakan hasil dapatannya.

  • Fire Strike – 4143
  • Sky Diver – 12,109
  • Night Raid – 13,643

Untuk permainan video pula, saya telah menguji beberapa permainan menggabungkan permainan esukan dan juga permainan berat.

DOTA 2

Menggagumkan kerana komputer riba ini masih mampu mencapai fps stabil sekitar 48fps pada tetapan 1080p Ultra semua. Jika anda menurunkan kepada 1080p Low pula, fps yang anda dapat lebih baik iaitu sekitar 61fps.

CS: GO

Counter Strike: Global Offensive, antara permainan paling ringan namun masih kompetitif diuji dengan fps 1080p Ultra sekitar 70fps. Saya mula perasan skrinnya agak perlahan apabila bermain game genre fps. Namun jika sekadar suka-suka bermain secara kasual, dan bukan kompetitif, ia lebih dari mencukupi.

Valorant

Spesis sama seperti CS:GO, iaitu permainan grafik ringan, ia mencapai fps cemerlang sekitar 95fps dengan tetapan 1080p Ultra.

Fortnite

Saya tidak pasti mengapa permainan ini crash banyak kali apabila diuji. Pada mulanya saya ingatkan komputer riba tidak mampu memainkan langsung permainan pada tetapan 1080p Ultra. Namun selepas mengurangkan tetapan grafik lebih rendah seperti resolusi kepada 1600p, permainan masih lagi crash.

Namun, fps yang dicatatkan stabil sekitar 50fps pada resolusi 1600p sebelum ia crash meninggalkan saya terpinga-pinga. Mungkin masalah pemacu, atau mungkin masalah RAM tidak mencukupi, saya pun tidak pasti.

Anda memang boleh memainkan fps pada purata yang dinyatakan, namun, perlu diingatkan anda akan mendapati sesi permainan kurang lancar melainkan anda menurunkan tetapan kepada yang lebih sesuai.

Anda akan terasa sengguk-sengguk dan lag yang sedikit mengganggu lebih-lebih lagi jika memainkan permainan secara atas talian.

Ini bukanlah komputer riba gaming, tak adil jika saya mahu mengkritiknya berlebihan disebabkan tidak mampu bermain dengan lancar. Namun fps yang dicapai pada tetapan tinggi permainan membuatkan saya puas hati dengan potensi kuasa yang dibekalkan pada Intel Iris Xe Graphics ini.

Saranan saya masih sama untuk kebanyakan mana-mana komputer riba ultrabook jika memainkan permainan – turunkan tetapan grafik kepada 1080p Low untuk pengalaman bermain yang lebih lancar.

Jika dibandingkan dengan prestasi pada grafik terbina lain seperti Intel Iris sebelumnya dan AMD Radeon Vega, ini merupakan satu pencapaian tertinggi buat grafik terbina yang mampu memainkan permainan dengan fps yang lebih baik.

SSD

Aspek prestasi seterusnya adalah SSD PCIe M.2nya. SSD 512GB yang dimuatkan dalam ZenBook 14 ini adalah biasa-biasa sahaja dengan kelajuan baca 1828.94/s dan kelajuan tulis 945.95/s. Masih ada lagi komputer riba dengan kelajuan SSD yang lebih pantas, namun untuk sekadar penggunaan seharian, kelajuan ini tidaklah mendatangkan masalah.

Haba

Komputer riba ini tiada permasalahan haba dan perudaraan mengenangkan ia dimuatkan dengan cip jenis jimat tenaga. Aliran udara banyak dibantu oleh rekaan ErgoLift dan juga kipas melalui mod Performance yang boleh diaktifkan di perisian MyASUS.

Sepanjang bermain permainan juga, saya tidak melihat suhu CPU terlalu panas, paling tinggi hanya mencapai sekitar 70°C. Jika dipegang, memang akan terasa panas disebabkan ia diperbuat daripada bahan binaan aluminium, namun selagi ia tidak mencatatkan suhu mencapai 80°C ke atas, saya tiada rungutan di sini.

Kawasan paling panas adalah pada bahagian atas papan kekunci, namun suhu pada kawasan bersebelahan pad sesentuh adalah sejuk-sejuk sahaja.

Bateri

Salah satu perkara yang saya minati pada barisan model ZenBook klasik ini adalah kebiasaanya ia akan dimuatkan dengan saiz kapasiti bateri besar yang secara tidak langsung menterjemahkan kepada penggunaan jangka hayat yang lama.

ZenBook 14 ini sekali lagi dimuatkan dengan 67Wh yang dikira agak besar untuk sebuah komputer riba 14 inci.

Sepanjang menggunakan komputer riba ini, saya amat berpuas hati dengan prestasi jangka hayatnya. Walaupun ia tidak mencapai sebagaimana yang didakwa oleh laman rasmi ASUS selama 22 jam, saya tetap berpuas hati dengan penggunaan mencecah sehingga 12 jam.

Lagi-lagi ia boleh dicas melalui USB-C yang dibekalkan oleh pengecas yang disertakan dalam kotak. Tambah memudahkan kedua-dua lubang USB-C ini boleh dicas menjadikan saya tidak perlu mengagak lubang mana yang perlu dicucuk, tanpa melihat sisi komputer riba.

Rumusan

Model ASUS ZenBook 14 yang saya uji adalah berharga RM4,699. Bagi saya jika anda mendambakan prestasi gaming yang terbaik pada komputer riba ini, jelas ini bukan pilihan yang sesuai. Lebih baik memilih komputer riba dengan grafik berasingan Nvidia, jauh lebih baik dan memuaskan.

Namun, jika anda mahukan komputer riba jenis ultrabook pada masa yang sama mahukan prestasi bermain permainan yang baik, ini merupakan yang terbaik ditawarkan dalam pasaran komputer riba.

Pilihan yang lebih bijak adalah memilih model i5 yang berharga RM3,999. Bukan sahaja ia adalah lebih murah, namun faktor utama adalah grafik pada model i7 adalah sama sahaja pada model i5.

Melalui model i5 juga, anda akan mendapat penggunaan bateri lebih lama disebabkan cip lebih jimat tenaga, sesuai dengan faktor pembelian yang mahukan penggunaan yang bertahan lama.

Secara keseluruhan, Intel Tiger Lake Gen-11 telah mencapai satu aras prestasi baharu untuk pemprosesan grafik terbina. Dengan penawarannya pada ASUS  ZenBook 14, ia menjadikan sebuah komputer riba ultrabook yang sebelum ini sudah sedia bagus menjadi lebih baik.

Kelebihan
  • Rekaan keseluruhan premium dan minimalis.
  • Ringan dan nipis, mudah untuk dibawa kemana-mana.
  • Bezel skrin nipis dan moden.
  • Bukaan Ergolift membantu prestasi dan pengaliran haba.
  • Cip dengan teras tunggal pantas untuk sebuah ultrabook.
  • Prestasi grafik Intel Iris Xe menggagumkan untuk sebuah grafik terbina.
  • Skrin sangat baik dengan 100% sRGB.
  • Jangka hayat sangat memuaskan mencecah sehingga 12 jam penggunaan.
  • Menepati kriteria pengguna yang mahukan ultrabook dengan kemampuan gaming yang baik.
Kekurangan
  • Tiada bicu audio 3.5mm (namun sudah dibekalkan dengan penyesuai USB-C ke 3.5mm)
  • Walaupun suhu tidak panas, namun jika dipegang masih rasa tidak selesa.
  • Masih belum mampu mengalahkan prestasi multi-teras dari cip AMD.
  • Prestasi SSD kurang memberansangkan.