Sebut sahaja tentang fon telinga tanpa wayar, pasti akan terfikir tentang AirPods dari Apple. AirPods 3 atau generasi ketiga merupakan fon telinga baharu yang telah direka bentuk semula untuk menyerupai model Pro dengan tangkai yang lebih pendek dan lebih sesuai untuk dipakai.
Spesifikasi
- Sambungan: Bluetooth 5.0, SBC, AAC, cip H1
- Hayat bateri: Main semula enam jam (30 jam dengan bekas pengecas)
- Rintangan air: IPX4
- Dimensi fon telinga: 30.8 x 18.3 x 19.2mm
- Berat fon telinga: 4.28g setiap satu
- Dimensi bekas pengecasan: 46.4 x 54.4 x 21.4mm
- Berat bekas pengecasan: 37.9g
- Pengecasan dari bekas: Lightning, wayarles Qi (MagSafe)
Sepanjang penggunaan, AirPods ini kekal terletak, dan agak selesa selama lebih dari 90 minit pada satu masa.
Tangkai yang lebih pendek pada AirPods 3 kali ini juga mempunyai jalur sensitif tekanan yang sama seperti AirPods Pro.
Tekan sekali, dua atau tiga kali untuk ‘pause’ muzik atau melangkau lagu, atau tahan untuk mengakses Siri pada iPhone.
Muzik juga akan ‘pause’ apabila salah satu fon telinga dikeluarkan dan disambung semula apabila memasukkannya semula ke telinga.
Ciri dan jangka hayat bateri
Bekas pengecas kali ini lebih besar sedikit berbanding generasi sebelumnya, tetapi lebih kecil daripada AirPods Pro.
Baterinya boleh bertahan lebih tujuh jam untuk permainan muzik tanpa henti dan bekas yang dicas penuh boleh mengecas semula fon telinga sehingga empat kali.
Pengecasan pantas fon telinga selama lima minit pula memberikan sehingga satu jam main semula muzik.
AirPods 3 ini mempunyai cip H1 dan ciri dipertingkatkan sama seperti fon telinga Apple yang lain.
Secara serta-merta ia boleh dipasangkan dengan iPhone atau iPad dan boleh menukar sambungan antara peranti Apple secara automatik termasuk MacBook.
Kualiti bunyi
Tentunya AirPods menghasilkan bunyi yang berkualiti untuk fon telinga dan khususnya AirPods 3 ini memberikan kualiti bunyi yang lebih baik dari sebelumnya.
Apabila saya mainkan lagu, saya dapat merasakan bunyi kompleks dengan baik dan jelas.
Walau bagaimanapun, disebabkan ia tidak direka dengan pembatalan hingar (ANC), isu terbesar AirPods 3 adalah pada bunyi latar belakang.
Pendek kata, apabila lagu dimainkan pada kelantangan sederhana, saya masih boleh dengar bunyi persekitaran tetapi apabila pasang pada kelantangan maksimum, bunyi latar belakang dapat dikurangkan.
Namun, jika dah mainkan pada kelantangan maksimum, muzik yang sedang dimainkan boleh didengar oleh orang yang bersebelahan dengan anda.
Ciri terbaru yang didatangkan pada AirPods 3 ialah sokongan untuk amplifier bunyi pawagam maya (virtual surround sound) yang dipanggil “audio spatial”, yang berfungsi untuk filem dan muzik dengan trek bunyi Dolby.
Ciri ini mengikut pergerakan kepala dan melaraskan bunyi supaya ia sentiasa berpusat pada skrin di hadapan anda.
Sewaktu saya mencuba ciri ini dengan memusingkan kepala saya ke kiri, ia masih akan berbunyi seolah-olah audio datang dari skrin, yang sebenarnya bergerak ke telinga kanan saya.
Rumusan
Apa yang boleh saya katakan, AirPods 3 meliputi reka bentuk yang lebih baik, bunyi yang dipertingkatkan, hayat bateri yang lebih lama dan ciri yang lebih maju seperti “audio spatial”.
Cuma satu sahaja masalah iaitu ketiadaan ANC. Namun, kelebihan-kelebihan lain yang ada pada fon telinga ini masih boleh memuaskan pengalaman mengguna.
Untuk harga RM829 dengan ciri dan kualiti yang diberikan, bagi saya berbaloi untuk dapatkan AirPods 3.
Namun, jika anda mempunyai bajet lebih dan inginkan pengalaman audio yang lebih berkualiti dengan sokongan ANC, lebih baik dapatkan sahaja AirPods Pro yang berharga RM1,099.
Baca juga: