Tenaga Nasional Berhad (TNB) kini mengajak pengguna komersial menerangi bangunan dan kawasan persekitaran mereka dengan lampu hiasan.

Ia bersempena bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan ke-64 tahun ini. Sehubungan itu, TNB menawarkan Insentif Sinaran Merdeka untuk tujuan tersebut.

TNB memaklumkan, tawaran ini melibatkan pengguna komersial seperti bangunan pencakar langit, bangunan pejabat, kompleks komersial, kompleks membeli-belah, hotel dan stesen minyak.

Ia merupakan insentif yang diberikan sejak tahun 2000 lagi yang ditawarkan kepada semua pengguna di bawah tarif perdagangan (tariff B, C1 dan C2) yang telah beroperasi sekurang-kurangnya setahun (sebelum 1 Ogos 2020), untuk tempoh dua bulan iaitu Ogos dan September 2021.

TNB menerangkan, kadar insentif adalah 20.8 sen/kWj (mengikut kadar tarif Neon & Floodlight) bagi jumlah peningkatan penggunaan elektrik yang melebihi purata kegunaan tiga bulan yang diambil dari bulan Mei, Jun dan Julai 2021.

Manfaat insentif khas ini akan dimasukkan ke dalam bil bulan Oktober 2021 yang akan dipaparkan sebagai ‘Diskaun Karnival’.

Promosi Insentif Sinaran Merdeka ini bermula dari 1 Ogos 2021 sehingga 15 September 2021.

Pelanggan komersial yang berminat boleh memohon secara atas talian  melalui portal myTNB atau membuat permohonan di Kedai Tenaga berhampiran.

Sumber: TNB