Sehubungan dengan pelaksanaan PKP 3.0 yang dilanjutkan, Kerajaan mengumumkan rebat elektrik tambahan sebanyak 0.87 sen/kWj kepada semua pemilik akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kadar rebat tambahan itu akan meringankan beban para pengguna elektrik di Semenanjung Malaysia bermula dari 1 Julai sehingga 31 Disember 2021.

Oleh itu, semua pemilik akaun TNB yang dianggarkan seramai 9.44 juta pengguna akan terus menikmati rebat elektrik keseluruhan sebanyak 2sen/kWj bagi tempoh tersebut.

Pemberian rebat tambahan itu membolehkan semua pemilik akaun TNB akan menikmati purata diskaun sebanyak 5% bagi tempoh itu.

Berikut adalah pecahan pelanggan domestik TNB di Semenanjung yang akan menikmati diskaun bil elektrik:

(i) pengguna domestik yang menggunakan elektrik bulanan sebanyak 200kWj dan ke bawah akan menerima diskaun sebanyak 40%. Seramai 2.9 juta pengguna elektrik dijangka akan menikmati diskaun ini;

(ii) seramai 1.4 juta pengguna domestik yang menggunakan elektrik bulanan di antara 201 hingga 300kWj pula akan mendapat diskaun sebanyak 15%;

(iii) seramai 2.4 juta pengguna domestik dengan penggunaan elektrik di antara 301 hingga 600kWj akan menerima diskaun sebanyak 10%;

(iv) seramai 700,000 pengguna domestik dengan penggunaan elektrik di antara 601 hingga 900kWj akan menerima diskaun sebanyak 5%; dan

(v) diskaun ini akan diberikan bagi bil elektrik bulan Julai, Ogos dan September 2021.

*pelanggan domestik merujuk kepada pengguna kediaman
*pelanggan bukan domestik merujuk kepada pengguna komersil, industri dan lain-lain

Selain pembiayaan rebat tambahan itu, Kerajaan juga telah bersetuju untuk memberi diskaun bil elektrik secara bersasar kepada pengguna-pengguna domestik dan bukan domestik bagi tempoh Julai hingga September 2021 untuk Semenanjung dan Sabah.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) juga memaklumkan bahawa golongan miskin tegar dengan pendapatan RM1,169 ke bawah yang berdaftar di dalam Sistem e-Kasih adalah layak mendapat rebat bil elektrik RM40.

KeTSA menyeru kepada mereka yang layak untuk mengemas kini nombor akaun dengan pihak utiliti bagi membolehkan mereka menikmati rebat bil elektrik berkenaan.

Sumber: KeTSA, KeTSA 2