Telekom Malaysia Berhad (TM) melalui unit penyelesaian perniagaan perusahaan dan sektor awamnya, TM ONE, hari ini memeterai satu Memorandum Kolaborasi (MoC) dengan CyberSecurity Malaysia, agensi pakar keselamatan siber nasional di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), untuk memperkasa dan memperkukuhkan tahap keselamatan siber di Malaysia.

Inisiatif gabungan dua organisasi ini termasuklah perkongsian amalan terbaik global, memanfaatkan keupayaan teknikal satu sama lain dan akan membawakan penyelesaian teknologi keselamatan siber yang optimum kepada perusahaan tempatan dan sektor awam.

Selain itu, kolaborasi strategik ini adalah untuk meneroka pembangunan keupayaan pemantauan keselamatan yang dipertingkatkan dengan memanfaatkan infrastruktur awan TM ONE yang lengkap.

Kedua-dua pihak juga akan berusaha untuk memajukan keupayaan forensik digital dan meningkatkan perkhidmatan tindak balas insiden. Ini akan mengetengahkan jangkauan siber, program pembangunan keupayaan dan kapasiti yang akan membantu meningkatkan kemahiran dan potensi kecerdasan digital bagi tenaga kerja sektor awam dan swasta negara.

Sumber: TM